Anggota Pasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan operasi mencari saki baki tahanan Etnik Rohingya yang masih lagi bebas. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Anggota Pasukan Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan operasi mencari saki baki tahanan Etnik Rohingya yang masih lagi bebas. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Polis tidak menolak kemungkinan 50 daripada 61 pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Rabu lalu pernah tinggal serta bekerja di negara ini.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, mereka mungkin sudah mahir dan tahu selok belok jalan di kawasan itu menyebabkan operasi kita gagal mengesan mereka dalam tempoh dua hari ini.

Menurutnya, 11 daripada 61 orang pelarian itu mungkin masih baru berada di negara ini.

"Yang 50 orang itu mungkin bantu empat dalang dan menggunakan menggunakan kanak-kanak dan wanita untuk turut melarikan supaya mereka mudah bolos.

"Mereka mungkin pernah bekerja di sini dan pernah ditahan kerana dari segi siasatan kita mereka melarikan diri ke arah Lebuhraya menghala ke Seberang Perai dan bukannya menghala ke Bandar Baharu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Wan Hassan berkata, setakat ini perkembangan terbaru yang diperolehi membabitkan jumlah tahanan pelarian etnik Rohingya masih kekal 61 orang.

Katanya, operasi mencari mereka masih diteruskan membabitkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu dan IPK Kulim serta IPK Kedah selain dibantu IPD Seberang Perai dan IPK Pulau Pinang serta dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Kita sudah buat pembersihan di kawasan hutan Bandar Baharu dan setakat ini semuanya bersih. Kita percaya tangkapan terakhir yang kita lakukan dua hari lalu adalah di sekitar kawasan Seberang Perai Selatan dan mungkin mereka sudah bergerak ke sana (Pulau Pinang)," katanya.

Dalam kejadian 20 April lalu, 528 tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap merusuh dan melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 10:05 PM