Warga asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Pulau Pinang untuk disoal siasat. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Warga asing yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Pulau Pinang untuk disoal siasat. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 35 lelaki dan seorang wanita warga asing kerana disyaki tidak memiliki dokumen diri sah dalam operasi di sebuah pusat makanan steamboat dan mesin simulator di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Dr Lim Chwee Leong, hari ini.

Operasi dilakukan pada 12.30 tengah hari itu membabitkan sepasukan pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen yang dikendalikan Ketua Operasi Jabatan Imigresen negeri Fairos Ismail.

Fairos berkata, semua pekerja warga asing yang ditahan itu ditemui berada di dalam sebuah pusat makanan steamboat dan mesin simulator yang terdapat di sebuah premis permainan video.

Beliau berkata, mereka yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 40-an dan dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen negeri untuk siasatan lanjut.

"Hasil siasatan lanjut turut merampas dan menyita pelbagai barangan termasuk mesin simulator, kad token, komputer dan lain-lain untuk siasatan mengikut Seksyen 6 (1) (3) Akta Imigresen 1959/1963," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 November 2016 @ 5:42 PM