KENDERAAN membawa tahanan dihantar ke depoh Imigresen Semenyih, semalam. FOTO Luqman Hakim Zubir
KENDERAAN membawa tahanan dihantar ke depoh Imigresen Semenyih, semalam. FOTO Luqman Hakim Zubir
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seramai 448 tahanan etnik Rohingya di Depot Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, dipindahkan ke empat depot lain, malam tadi.

Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, semua tahanan dipindahkan ke depot imigresen di Selangor, Perak dan Melaka atas faktor keselamatan.

Beliau berkata, 144 tahanan membabitkan 83 wanita, 57 kanak-kanak perempuan dan empat kanak-kanak lelaki dipindahkan ke Depot Imigresen Semenyih, Selangor.

"Seramai 100 tahanan membabitkan 68 lelaki dan 32 kanak-kanak lelaki dipindahkan ke Depot Imigresen Bukit Jalil, Selangor dan seramai 100 tahanan lelaki dipindahkan ke Depot Imigresen Langkap, Perak.

"Manakala seramai 104 tahanan lelaki dipindahkan ke Depot Imigresen Machap, Melaka," katanya.

Operasi pemindahan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) secara berperingkat bermula 7 malam hingga 12 tengah malam tadi.

Wan Hassan berkata, dua tahanan yang cedera ketika melarikan diri masih dirawat di kemudahan kesihatan dengan dikawal ketat pihak berkuasa.

"Seorang tahanan lelaki dirawat di Hospital Sungai Bakap dan seorang tahanan perempuan dirawat di Hospital Seberang Jaya.

"Berikutan itu, orang awam yang ada melihat individu mencurigakan berada dalam keadaan letih dan berkaki ayam diminta menghubungi segera pihak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 10:15 AM