SEORANG daripada lelaki warga Myanmar ditangkap Jabatan Imigresen Kedah selepas terjatuh dalam sungai ketika cuba melarikan diri sejauh 300 meter dalam Ops Mega di Kodiang, semalam. FOTO Ihsan JIM Kedah
SEORANG daripada lelaki warga Myanmar ditangkap Jabatan Imigresen Kedah selepas terjatuh dalam sungai ketika cuba melarikan diri sejauh 300 meter dalam Ops Mega di Kodiang, semalam. FOTO Ihsan JIM Kedah
Nordiana Shafiee


PADAH cuba melarikan diri daripada anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri, dua lelaki warga Myanmar terjatuh ke dalam sungai ketika Op Mega di Padang Sera, Kodiang, semalam.

Kedua lelaki berusia lingkungan 20an itu dikesan melarikan diri melalui pintu belakang rumah sewa sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.

Pengarah Imigresen negeri Zuhair Jamaluddin berkata, mereka antara 26 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang berjaya ditangkap pihaknya selepas dikejar sejauh 300 meter, manakala seorang lagi yang turut melarikan diri lolos dalam kebun getah berhampiran.

Menurutnya, dalam operasi selama 12 jam berakhir 4 pagi itu, seramai 15 anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan di tiga rumah sewa dan tiga kedai makan ala Thai membabitkan 125 warga asing pelbagai warganegara di sekitar Tunjang dan Kodiang.

Katanya, dalam pemeriksaan itu, pihaknya mengesan 26 daripadanya termasuk tiga kanak-kanak, berusia antara 2 hingga 40 tahun melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka yang ditahan terdiri tiga lelaki termasuk dua kanak-kanak dan 11 wanita termasuk seorang kanak-kanak warga Thailand di tiga kedai makan berasingan, manakala 11 lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Bangladesh di rumah sewa masing-masing.

“Pemeriksaan awal mendapati 13 daripadanya melakukan kesalahan tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah, 10 lagi melanggar syarat pas diberikan dan selebihnya kerana melindungi warga asing yang melakukan kesalahan imigresen,” katanya.

Zuhair berkata, semua Pati berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.

Menurutnya, mereka akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 11:38 AM