ANTARA warga asing yang ditahan. FOTO ihsan Imigresen
ANTARA warga asing yang ditahan. FOTO ihsan Imigresen
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 48 orang termasuk 15 wanita dan 16 kanak-kanak warga asing atas pelbagai kesalahan dalam serbuan di 17 lokasi berasingan, malam tadi.

Op Ikrar bermula dari 9.30 pagi semalam hingga malam tadi itu membabitkan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Negeri yang diketuai Ketua Operasi Negeri, Fairos Ismail.

Fairos berkata, operasi itu tertumpu di beberapa lokasi termasuk Bayan Lepas, Air Itam, Bayan Baru, Tanjung Tokong, Jelutong dan Gelugor serta beberapa kawasan sekitar pusat bandar.

Beliau berkata, ketika pemeriksaan dilakukan 17 lelaki, 15 wanita dan 16 kanak-kanak warga asing berusia antara satu bulan hingga 50-an ditahan kerana melakukan beberapa kesalahan imigresen

"Antara kesalahan dikenal pasti adalah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa pas yang sah dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.

"Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Negeri, Seberang Jaya untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2016 @ 10:36 AM