KEADAAN Perodua Axia remuk teruk di bahagian hadapan selepas kemalangan. FOTO ihsan Polis
KEADAAN Perodua Axia remuk teruk di bahagian hadapan selepas kemalangan. FOTO ihsan Polis
Mohd Hilmie Hussin


TIGA penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Jasin cedera selepas kereta dinaiki dirempuh pacuan empat roda di Kilometer 33 Jasin-Merlimau, Jasin, semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Faris Mohamed Yusof, 24, patah tulang kaki manakala Ahmad Mudazafar Mohd Din, 23, patah tulang paha dan Farouq Muntasir Mohd Azam, 23, cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku apabila Perodua Axia yang dipandu Muhammad Faris, bersama dua rakannya itu dalam perjalanan dari arah Tol Lipat Kajang di Jasin , menuju ke kampus UiTM Jasin.

"Sebaik tiba di lokasi, kenderaan dinaiki mangsa bertembung dengan Toyota Hilux yang datang dari arah Merlimau.

"Pacuan empat roda terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke arah bertentangan dan bertembung dengan Perodua Axia itu. Begitupun, pemandu Hilux berusia 21 tahun tidak mengalami kecederaan," kata Arshad ketika dihubungin, hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa adalah penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda jurusan Kejuruteraan Sistem Maklumat itu dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 12:42 PM