GUNA khidmat Faizal Tahir dalam proses penghasilan album penuh tak lama lagi.
GUNA khidmat Faizal Tahir dalam proses penghasilan album penuh tak lama lagi.
Syanty Octavia Amry


Lama tidak muncul dengan lagu baru, penyanyi Yasin Sulaiman, 41, mengakui perlu mengambil masa lama untuk menghasilkan sesuatu yang baru dan segar buat peminat.

Tampil dengan single berjudul Muzik, Yasin berkata, penghasilan lagu berkenaan dibuat sejak 2014.

Malah tidak hanya single Muzik, bapa kepada dua anak itu juga bakal tampil dengan album penuh tidak lama lagi.

“Hampir lapan tahun saya tidak tampil dengan karya baru. Melihat perkembangan muzik yang ada sekarang saya perlu berhati-hati dalam pemilihan lagu.

“Generasi muda mungkin ada yang tidak pernah dengar lagu nyanyian saya sebelum ini. Disebabkan itulah saya ambil masa lama untuk memastikan lagu yang bakal bakal dipersembahkan bersesuaian dengan cita rasa pendengar masa kini,” katanya.

Menggunakan khidmat penyanyi Faizal Tahir dalam proses penghasilan albumnya kali ini, Yasin berkata dia tertarik dengan muzik yang dibawa penyanyi itu. Malah Faizal banyak membuat kajian terhadap lagu yang dihasilkan.

“Ketika timbul keinginan tampil dengan lagu baru, saya cuba mencari konsep sesuai. Saya tidak mahu sesuatu yang mengundang tekanan tetapi lebih kepada santai dan tenang sahaja.

“Kerana itu Muzik menjadi pilihan saya untuk diperkenalkan sebagai single pertama. Malah Muzik akan jadi judul album saya nanti.

“Jika sebelum ini koleksi lagu saya lebih kepada cinta kepada Tuhan, kali ini saya mahu ketengahkan cinta sesama manusia,” katanya.

Selain bakal muncul dengan album memuatkan sembilan lagu baru, Yasin turut rancak merencana pelbagai perkara untuk tempoh 10 tahun daripada sekarang.

“Kehadiran single dan album baru ini adalah permulaan untuk saya kembali aktif dalam industri muzik tanah air.

“Saya juga kena rancang masa depan dengan bijak. Usia pun semakin meningkat dan selepas 10 tahun mungkin saya akan berehat dan fokus dengan kerja belakang tabir sahaja.

“Kalau boleh saya mahu buat konsert. Insya-Allah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 1:49 PM