Oleh Amirul Haswendy Ashari


Selepas dikenali melalui lagu Teman Sejati, kumpulan nasyid yang popular dalam kalangan remaja dan golongan muda di awal kemunculan mereka sekitar 20 tahun lalu, Brothers, menghilang tanpa khabar selama sedekad.

Kali terakhir Brothers dianggotai Yasin, Syah, Salleh dan Faiz muncul dengan album melalui Brothers United pada 2005 dan kini mereka kembali dengan buah tangan terbaru, Sabar.

Bertemu mereka dalam satu fotografi bersama Selebriti Metro Ahad baru-baru ini, mereka menafikan Brothers menghilang atau berpecah.

Malah, selepas muncul dengan album Brothers United, mereka merancang masa depan Brothers bersama seperti menghasilkan album baru.

Kata Yasin, mereka merancang menghasilkan album baru sejak beberapa tahun lalu dan ia bukan tugas mudah kerana masing-masing ada komitmen dan kekangan yang tidak dapat dielakkan.

“Itu pun selepas tiga tahun, kami berempat dapat berkumpul dan berbuka puasa bersama-sama. Dari situ, kami mula berkongsi impian serta hasrat untuk kembali dengan album baru sejak tahun lalu,” katanya.

Mula dikenali pada 1995 melalui album pertama, We Are (1997) terbitan Matahati dan Ambang Klasik dengan lagu popular, Teman Sejati diikuti Satu Perjuangan pada 1998 mengetengahkan lagu Hayya Bil Jihad dan Doa Perpisahan.

Pada 2000, Yassin menarik diri dari Brothers dan meneruskan karier solo menghasilkan karya lagu bergenre ‘world music’

Mereka memilih Akbar, bekas anggota Adams menggantikan tempat Yasin. Kehadiran Akbar membolehkan Brothers tampil dengan album ketiga, Untukmu Teman (2000).

Selepas itu, mereka menyepi tanpa album hinggalah 2005, Brothers mengumpulkan semula ahlinya termasuk Yasin menerbitkan album Reunited.

Selepas album itu, Akbar mengundurkan diri untuk bergerak solo tetapi tidak lama selepas itu membuat keputusan berhenti dari dunia seni atas sebab peribadi.

Selama tempoh berdiam juga, selain Yasin bergerak solo Salleh pula pernah menghasilkan album zikir, Faiz sibuk mengurus syarikat sendiri manakala Syah bergerak sebagai aktivis keamanan.

Masih kekal dengan empat ang­gota asal, Brothers kini tampil dengan album Sabar, kompilasi terbaik Brothers sepanjang 20 tahun bersama lima lagu baru iaitu Sabar, Demi Cinta, Kamaresyah, Tawakallah dan Allahumma.

Kelima-lima lagu ini menampilkan kelainan berbanding lagu lama Brothers. Lagu Sabar lebih bersifat acapella dan soul, Demi Cinta (soul ala kontemporari), Kamaresyah (world music), Tawakallah (pop) dan Allahumma (ala zikir terapi).

Mereka juga tampil dengan imej baru sesuai dengan hasrat mahu dikenali sebagai kumpulan yang lebih bersederhana atau ‘moderate’.

Kata Yasin, Brothers mahu tampil lebih kepada imej Islam yang menganjurkan kesederhanaan dan tidak terlalu ‘rigid’ (keras).

“Zaman berubah dan kini baru kami boleh rasa selesa dengan imej sendiri. Berbanding dulu, kalau disebut nasyid, mesti berbaju Melayu atau berkopiah, walhal penyanyi nasyid juga seperti orang lain yang mahu selesa dengan diri sendiri asalkan ia menepati syariat berpakaian,” katanya.

Untuk album baru, mereka lebih fokus kepada kemantapan vokal masing-masing serta keharmonian dalam berlagu. Malah, dari segi muzik juga ia lebih universal dan tidak lagi terlalu sempit dengan alunan alat muzik perkusi sahaja.

Begitu juga dengan tema lagu disampaikan, Sabar lebih kepada mempromosi kempen kepada pendengar untuk sentiasa bersabar dalam apa juga keadaan.

Kata Syah, setiap hari kita berdepan pelbagai isu sama ada isu kecil seperti kesesakan trafik kadang kala menyebabkan kita sentiasa hilang sabar.

“Mungkin dengan mendengar lagu Sabar di radio, pemandu boleh mengambil manfaat darinya,” katanya.

Mengenai lagu Demi Cinta ciptaan Syah dikatakan cuba mempromosi poligami sebagai alternatif kepada isu rumah tangga yang berlaku saban hari, Syah akui cuba mendidik pendengar bahawa berpoligami sebenarnya baik dan dituntut dalam Islam.

Bagaimanapun katanya, seperti mana diketahui, ia tetap bersyarat.

“Hampir setiap hari ada saja isu rumah tangga yang kadangkala berpunca dari sesiapa saja. Kalau mampu dan mahu terus elak dari berlakunya kemaksiatan, isteri sepatutnya faham keperluan berpoligami.

“Pun begitu, ia tidak menghalalkan suami untuk terus menduakan isteri tanpa sebab kukuh dan tidak mengikut syariat Islam,” katanya tenang.

Album Sabar diterbitkan Hush Entertainment dan diedarkan Arteffects International juga edaran bersama Sony Music Malaysia dan ia boleh didapati secara digital seperti di iTunes, Amazon, Spotify, KKBox dan Deezer.

Rezeki ada di mana-mana

Nama Yasin dan Brothers memang tidak dapat dipisahkan biarkan sekian lama bergerak solo melalui album Mimpi Laila (2001), Salsabila (2002) dan Arus Kudus (2009).

Agak lama tidak muncul dengan lagu baru, Yasin akui cintanya pada muzik tidak pernah padam. Yasin juga menafikan hilang semangat meneruskan kerjaya seni apabila kelantangannya bersuara mengenai isu sensitif seperti politik dan negara disalah anggap hingga pernah dipinggirkan banyak pihak.

Katanya, sebagai rakyat yang prihatin dan mahukan sesuatu yang terbaik buat negara tercinta, dia rela bersuara atas nama kebaikan bersama.

Pun begitu, katanya biarpun dipinggirkan rezeki Allah ada saja di mana-mana di bumi bertuah Malaysia.

“Selama saya ‘senyap’, rezeki saya tetap seperti biasa dengan menghasilkan karya lagu untuk artis tanah air. Malah, saya juga sibuk melakukan tugas di belakang tabir.

“Saya masih seperti dulu cuma masa ini, saya yakin masyarakat lebih bijak menentukan apa yang terbaik untuk mereka,” katanya tetap dengan pendirian mahu terus menjadi rakyat prihatin.

Bahagia bersama isteri dan dua anak, Yasin atau Muhammad Yasin Sulaiman, 40, dikatakan pernah menjalani rawatan psikiatri kerana mengalami masalah Bipolar Disorder, iaitu sejenis masalah kesihatan berkaitan mental.

Namun, selepas mendapatkan rawatan dari semasa ke semasa, penyakit yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami perubahan sikap dan identiti secara tiba-tiba itu hampir pulih sepenuhnya.

Yasin bersyukur mempunyai keluarga yang memahami masalah dihadapi serta rakan Brothers yang banyak menyokong selama proses pemulihan.

“Sebab itulah dengan kemunculan album baru ini, ia sedikit sebanyak memberi kepuasan buat kami,” katanya.

Hasil perkahwinan dengan Sharifah Eena Houzyama Syed Mokhsain pada 14 Februari 2000, mereka dikurniakan dua anak, Sameer, 11, dan Malaika, 7.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Jun 2015 @ 5:04 AM