DENG Wei (tengah) ceria memperaga emas pertamanya di Olimpik.
DENG Wei (tengah) ceria memperaga emas pertamanya di Olimpik.
AP

Rio de Janeiro: Deng Wei meraih emas Olimpik dan mencipta rekod dunia ketika seteru utamanya menjalani penggantungan akibat doping.

Atlet angkat berat China itu menjuarai kategori 63 kilogram kelmarin selepas melakukan angkatan 147kg dalam clean & jerk dan 115kg untuk snatch bagi melakar rekod dunia dengan jumlah angkatan 262kg. Dia turut memecahkan rekod dunia miliknya sendiri bagi acara clean & jerk dengan kelebihan satu kilogram.

“Saya sedikit gementar kerana ini penampilan pertama di Olimpik,” katanya. “Namun sebelum ke Rio, saya sudah menetapkan sasaran untuk memecahkan rekod dunia, jadi pencapaian ini memang dijangkakan.”

Pemegang rekod terdahulu Lin Tzu-Chi dari Taiwan, menarik diri pada saat akhir selepas terdapat bahan terlarang yang ditemui menerusi ujian doping sebelum Olimpik, menurut pasukannya.

Pencabar utama yang lain turut tidak bersaing kerana masalah doping.

Atlet Korea Utara Choe Hyo Sim meraih perak dan Karina Goricheva dari Kazakhstan meraih gangsa.

“Saya akan mencuba dengan lebih kuat untuk memenangi emas pada temasya akan datang,” kata Choe. “Saya tidak gembira dengan keputusan ini. Saya patut mencuba dengan lebih kuat.”

Angkat berat dibayangi masalah doping sejak kebelakangan ini terutamanya membabitkan kategori 63kg wanita.

Juara bertahan Maiya Maneza dari Kazakhstan terlepas Olimpik selepas gagal ujian dadah, manakala dua daripada empat atlet teratas di kejohanan dunia tahun lalu turut tersisih kerana masalah sama. -AP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 11:20 AM