AFP

Rio de Janeiro: Atlet Kazakhstan yang pernah digantung dua tahun akibat penyalahgunaan dadah, mencipta rekod baru dunia dan mengejutkan pilihan dari China Lyu Xiaojun, untuk meraih emas acara angkat berat lelaki kategori 77kg di temasya Olimpik semalam.

Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) sebelum ini menggantung Nijat Rahimov (gambar) daripada menyertai sukan angkat berat pada Jun 2013 hingga Jun 2015 selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang ketika mewakili Azerbaijan.

Nijat memecahkan rekod dunia dalam acara clean and jerk dengan kelebihan empat kilogram untuk menewaskan bintang China Xiaojun yang memakai kasut berwarna emas ketika beraksi.

Atlet berusia 22 tahun itu berhijrah ke Kazakhstan selepas bebas daripada penggantungan, menolak untuk menjawab soalan berhubung keraguan mengenai pembabitan negaranya dalam acara angkat berat di temasya itu.

IWF mengeluarkan larangan kepada Russia dan Bulgaria selain turut mahu menggantung atlet Kazakhstan daripada menyertai acara itu di Rio berikutan beberapa kes doping berprofil tinggi.

Bagaimanapun, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa tidak dapat menyiapkan keputusan ujian semula dari Beijing dan London dalam tempoh ditetapkan sekali gus menyaksikan Kazakhstan layak beraksi.

“Saya tidak tahu mengenai perkara berkenaan dan itu yang akan dimaklumkan kepada mereka,” kata Nijat ketika ditanya apa yang akan diperkatakannya kepada peminat di Olimpik yang menyuarakan kebimbangan mengenai penyertaan Kazakhstan.

Xiaojun dilihat berpeluang cerah memenangi acara itu apabila memecahkan rekod dunia dalam acara snatch dengan angkatan 177kg dan mengatasi Nijat ketika memasuki pusingan kedua.

Bagaimanapun, juara 2012 itu gagal mengangkat bebanan 202kg pada percubaan kedua.

Apabila dia berjaya pada angkatan ketiga, dia berasakan beban itu sudah cukup untuk menang dan meleraikan balutan di tangan untuk meraih kejayaannya.

Namun, Nijat berjaya mengangkat bebanan 214kg dan memadamkan rekod 15 tahun dengan jumlah angkatan 379kg.

Jumlah angkatan sama dengan Xiaojun namun Nijat dinobatkan pemenang kerana berat badan yang lebih ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 8:57 AM