Mohd Misuari dan pegawainya melihat motosikal yang disita Op Lejang di Pengkalan Chepa, semalam. FOTO Siti Rohana Idris.
Mohd Misuari dan pegawainya melihat motosikal yang disita Op Lejang di Pengkalan Chepa, semalam. FOTO Siti Rohana Idris.
Siti Rohana

Kota Bharu: Sebanyak 241 notis dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam tempoh dua jam Op Lejang di kawasan perindustrian Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 144 adalah notis saman membabitkan 102 kesalahan.

"Kesalahan paling banyak dilakukan adalah tiada lesen memandu kompeten (CDL) (41 saman), diikuti tidak berhenti apabila ditahan (22); tiada lesen kenderaan motor (16), tiada insuran (16) dan memandu bawah umur (7).

"Tindakan di bawah Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi sekatan pemanduan bawah umur serta Seksyen 81 akta sama untuk sekatan ke atas pertandingan dan ujian kelajuan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Misuari berkata, sebelum operasi yang bermula 6.30 petang itu, pihaknya terlebih dahulu menjalankan intipan di lokasi yang terkenal dengan aktiviti lumba haram.

Katanya, didapati aktiviti disertai remaja belasan tahun dan awal 20-an yang turut melakukan aksi 'wheelie', meniarap dan menukar gear dengan tangan, selain tidak pakai topi keledar.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan berterusan akan dibuat dari semasa ke semasa terutama di lokasi panas, bagi mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 7:40 PM