GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Empat lelaki termasuk seorang warga Indonesia ditahan kerana dipercayai terbabit dalam pembelian minyak sawit mentah tidak berlesen di Sandakan, Sabah, Isnin lalu.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mereka ditahan menerusi serbuan di sebuah premis yang menjalankan perniagaan memproses minyak sawit di Batu 14, Jalan Labuk, Sandakan.

Menurut MCBA, dalam serbuan di bawah Op Taring Palma yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) itu, pihaknya turut merampas minyak sawit mentah serta peralatan bernilai RM6.4 juta.

"Siasatan awal mendapati syarikat berlesen itu membuat pembelian minyak sawit mentah daripada pihak tidak berlesen pada harga lebih rendah.

"Antara rampasan adalah sebuah lori muatan tiga tan, tujuh buah tangki dengan isipadu 1,000 liter, empat unit pam elektrik dan hos, empat buah tong dram, lima unit tangki skid berkapasiti 40,000 liter, lima tangki simpanan berkapasiti 1,000 tan dan anggaran 775.1 tan minyak sawit mentah," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut kesemua yang ditahan diserahkan kepada MPOB Sandakan untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 7:18 PM