Kumpulan Cokelat di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Kumpulan Cokelat di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Penyanyi kumpulan Cokelat, Kikan mengakui pernah tidak mahu dikaitkan dengan nama kumpulan itu selepas mengambil keputusan berundur pada 2010.

Kikan atau nama sebenarnya Kikan Namara turut menjauhkan diri dari anggota kumpulan itu yang sahabatnya yang dikenali sejak tiga dekad lalu.

"Selama saya tak bersama Cokelat, saya benci dan marah sekali kalau dikaitkan dengan nama Kikan Cokelat. Saya ini Kikan Namara. Saya mencuba mati-matian melepaskan diri dari bayang-bayang Cokelat.

"Siapa sangka beberapa tahun kemudian mungkin rahsia Allah dan rahsia kehidupan saya akhirnya kembali bersama band ini.

"Sebenarnya tak pernah terlintas di fikiran saya untuk bergabung dengan abang-abang saya di sini. Bagi saya, 'reunion' ini sangat istimewa," katanya.

Kikan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media konsert Cokelat Kembali di Hard Rock Cafe, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kikan tidak menolak bahawa gabungan ini secara tidak langsung berlaku disebabkan usaha anggota Cokelat sendiri iaitu Edwin dan juga pengurus dan suami Kikan iaitu Udzir.

"Edwin mewakili Cokelat, manakala Uzair mewakili saya. Mereka berdua inilah yang bersungguh-sungguh berkomunikasi di belakang saya demi menyatukan kembali Cokelat. Sebenarnya saya memang marah dengan Udzir kerana masih berkomunikasi dengan mereka.

"Udzir cuba berbohong tetapi akhirnya membuka rahsia sebenar bahawa Edwin (gitar), Ernest (gitar), Ronny (bass) dan Ervin (dram) menyimpan hasrat besar untuk melihat saya kembali bersama Cokelat," katanya.

Kikan turut mendedahkan punca dia meninggalkan Cokelat kerana mahu memberi tumpuan kepada suami dan anaknya.

"Antara kami berlima, saya yang pertama berkahwin. Jadi, saya sukar untuk memberikan masa buat kedua-duanya.

"Selama dua tahun juga saya berperang dengan hati dan perasaan sendiri sebelum akhirnya membuat keputusan keluar daripada kumpulan kerana merasakan itu adalah keputusan yang terbaik," katanya.

Cokelat antara band berpengaruh dalam industri muzik Indonesia dan berjaya meletakkan nama band asal Bandung ini sentiasa segar dalam ingatan peminat.

Namun, mereka mengambil keputusan untuk 'berpisah' selama 12 tahun sebelum kembali bersatu pada 2022 menerusi persembahan Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos 2022.

Terbaharu, Cokelat kembali ke Malaysia menerusi konsert yang bakal diadakan pada 7 September ini di Zepp Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 7:59 PM