Syed Faisal Albar (kiri), Dr Li Chunrong (tengah) dan Timbalan Ketua Pegawai Proton Holdings Berhad, Roslan Abdullah (kanan) pelancaran nama dan logo terbaharu Proton e.MAS di Proton Centre of Excellency, Shah Alam. FOTO AZIAH AZMEE
Syed Faisal Albar (kiri), Dr Li Chunrong (tengah) dan Timbalan Ketua Pegawai Proton Holdings Berhad, Roslan Abdullah (kanan) pelancaran nama dan logo terbaharu Proton e.MAS di Proton Centre of Excellency, Shah Alam. FOTO AZIAH AZMEE
Lizam Ridzuan

 

Subang Jaya: Proton Holdings Bhd (Proton) melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama Malaysia dikenali sebagai e.MAS yang dijangka diperkenalkan pada akhir tahun ini.

   Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata, nama model itu adalah akronim daripada Electrifying Malaysia dengan simbol 'e' sebagai EV dan singkatan MAS untuk Malaysia dengan logo reka bentuk 2D seiring dengan aliran rekaan terkini.

  "Pelancaran jenama dan logo e.MAS ini sebagai satu langkah penting dalam perjalanan Proton ke arah melancarkan EV sendiri.

"Sebagai sebuah syarikat dengan teras perindustrian Malaysia, kami sedar akan tanggungjawab untuk menyediakan penyelesaian mobiliti yang relevan dan mampu untuk rakyat Malaysia.

  "Model EV ini dibangunkan dengan teliti untuk pembangunan pangkalan pengetahuan dan memastikan kami mempunyai pemahaman yang menyeluruh tentang produk, teknologi dan keperluan pengguna sebelum jualan bermula,"  katanya ketika pelancaran nama dan logo itu hari ini.

   Turut hadir Pengerusi Proton Tan Sri Syed Faisal Albar.

  Selain itu Proton turut mengumumkan pelantikan 17 pengedar EV Proton yang memeterai perjanjian hari ini selain membuka permohonan buat peniaga yang berminat menjadi pengedar dan menyasarkan membuka 30 cawangan menjelang 2025.

  "Sebagai jenama automotif pertama di Malaysia, adalah penting bagi Proton untuk melabur dalam infrastruktur bagi menawarkan rangkaian perkhidmatan penuh kepada pembeli EV dan bukannya hanya menjual produk.

"Oleh itu, apabila model Proton e.MAS mula dijual, pelanggan boleh yakin bahawa setiap keperluan mereka akan diuruskan sama seperti pembeli model Proton semasa," tambahnya.

  Perkembangan model EV Proton dimulakan dengan Memorandum Perjanjian (MOA) antara Proton dan Syarikat Automobil Smart pada Januari 2022 dan diikuti dengan pemeteraian Perjanjian Pengedaran Am (GDA) antara kedua-dua pihak pada 18 Ogos 2022 serta pembentukan PRO-NET pada 9 September tahun sama untuk menerajui jualan dan pengedaran kenderaan smart dan tawaran EV masa hadapan daripada Proton.

   Mengulas lanjut, Chunrong berkata, jenama e.MAS dan produknya adalah lanjutan daripada tiga nilai teras Proton iaitu Teknologi Inovatif, Kebolehpercayaan dan Antarabangsa. 

  "Ini adalah langkah seterusnya dalam evolusi syarikat dan pada beberapa bulan yang akan datang, kami akan membuat pengumuman baru untuk membina pengiktirafan jenama dan promosi produk menjelang pelancaran Proton e.MAS EV pertama pada Disember tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 8:47 PM