GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gerik: Polis menahan seorang lelaki kerana melakukan ugutan jenayah dan khianat terhadap harta benda di rumah kakak serta ibu bapanya di sini, semalam, kerana tidak berpuas hati terhadap pembahagian harta pusaka.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, polis menerima aduan mengenai tindakan suspek berusia 38 tahun itu kira-kira jam 3 pagi semalam.

Menurutnya, suspek mulanya menuju ke rumah kakaknya di Kampung Jagor, di sini, bersama ibu dan bapa dengan memandu dalam keadaan tergesa-gesa serta bertindak melanggar dua unit tiang lampu solar di hadapan kediaman itu.

"Perbuatan itu disebabkan suspek tidak berpuas hati terhadap pembahagian harta milik ayahnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, tidak berhenti di situ, suspek turut memecahkan peralatan di rumah sendiri yang terletak di Kampung Padang, di sini, sewaktu pulang dari kediaman kakaknya bersama ibu bapanya.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan ketakutan kepada ibu bapanya sebelum suspek ditahan polis setengah jam kemudian.

"Bertindak atas maklumat, polis sampai di tempat kejadian jam 3.30 pagi dan menangkap suspek untuk siasatan lanjut.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Jun 2024 @ 6:36 PM