SERENA gagal rangkul emas kelima.
SERENA gagal rangkul emas kelima.
AFP

Rio de Janeiro: Impian Serena Williams untuk merangkul pingat emas kelima Olimpik berkecai di tangan pemain Ukraine Elina Svitolina dengan persaingan untuk merebut pingat emas dalam kategori wanita kini terbuka luas.

Pilihan utama yang juga juara bertahan dilihat bergelut dengan kecederaan bahu kanan, dikejutkan dengan kekalahan 4-6, 3-6 di tangan Elina yang tiga belas tahun lebih muda daripadanya.

“Pemain yang lebih baik akan menang,” kata Serena yang melakukan lapan kesalahan berganda termasuk lima kali dalam satu permainan di set kedua.

Dia turut melakukan 37 kesalahan mudah.

“Ia satu peluang terbaik. Ia tidak berlaku seperti yang saya inginkan tapi sekurang-kurangnya saya dapat beraksi di Rio. Itu adalah antara salah satu matlamat saya.”

Kekalahan pemain berusia 34 tahun itu bermakna tiada lagi kelibat pemain nombor satu dunia di Rio sebelum saingan suku akhir selepas Novak Djokovic tewas di pusingan pertama.

Hanya tiga dari kelompok 10 pemain terbaik mara ke saingan suku akhir dalam undian wanita.

Temasya Rio adalah aksi terakhir Serena di Olimpik selepas dia dan kakaknya Venus turut tewas dalam aksi beregu di pusingan pertama.

Venus ditunjukkan jalan keluar Selasa lalu dan mengikuti jejak pemain pilihan ketiga yang juga juara Terbuka Perancis Garbine Muguruza selepas tewas kepada pemain Puerto Rico, Monica Puig.

Bagaimanapun, juara bertahan Andy Murray tidak berdepan masalah untuk terus mara dan juara 2008 Rafael Nadal turut mara ke pusingan ketiga dengan kemenangan straight set.

Elina, 21, akan berdepan juara dua kali Wimbledon Petra Kvitova untuk penentuan tempat ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 11:10 AM