SERENA (kiri), Venus pamer aksi hambar.
SERENA (kiri), Venus pamer aksi hambar.

Rio de Janeiro: Serena dan Venus Williams tidak pernah tewas sepanjang menyertai acara beregu di Olimpik dan setakat ini mereka sudah membawa pulang tiga emas temasya berkenaan.

Lawan mereka di pusingan pertama di Rio de Janeiro ialah pasangan Republik Czech Lucie Safarova dan Barbora Strycova - kedua-duanya tidak pernah menang mana-mana perlawanan sepanjang digandingkan. Mereka juga tidak pernah mencatat sebarang kemenangan setiap kali bertemu pasangan adik-beradik itu di dalam acara tenis beregu Olimpik.

Justeru, tidak keterlaluan jika dikatakan ia adalah sesuatu yang sangat mengejutkan apabila gandingan Serena dan Venus tewas 6-3, 6-4 di tangan Lucie serta Barbora pada pusingan pertama di Rio.

“Kami bermain buruk,” kata Serena, “dan hasilnya boleh anda lihat.”

Pasangan Amerika Syarikat itu diletakkan sebagai pilihan utama dan kembali beraksi selepas masing-masing bermain di Wimbledon kira-kira sebulan lalu.

Pasangan Republik Czech itu pula bukanlah pilihan. Dan lebih menarik lagi: Mereka tidak sepatutnya digandingkan bersama di Olimpik. Barbora menjadi ganti kepada Karolina Pliskova yang menarik diri daripada temasya berkenaan.

Barbora dan Lucie hanya sekali beraksi sebagai beregu sebelum pusingan pertama - dan mereka tewas iaitu pada pertandingan Piala Fed tahun lalu.

“Hakikat itu memang benar tetapi kami tetap bersahabat baik. Kami tahu dengan permainan masing-masing,” kata Barbora yang pencapaian terbaiknya ialah layak ke separuh akhir acara beregu di kejohanan Grand Slam. “Saya tahu apa yang perlu dilakukan di gelanggang dan dia tahu apa yang perlu dia lakukan.”

Lucie pula terkenal sebagai seorang pemain beregu yang hebat dan dia pernah memenangi dua gelaran di kejohanan utama tahun lalu bersama Bethanie Mattek-Sands dari Amerika Syarikat. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 8:54 AM