ELINA (kiri), Zverev (tengah), Serena tersingkir daripada Terbuka Itali. FOTO EPA
ELINA (kiri), Zverev (tengah), Serena tersingkir daripada Terbuka Itali. FOTO EPA
AFP

JUARA dua kali Elina Svitolina tersingkir daripada Terbuka Itali awal pagi tadi, begitu juga dengan bintang Jerman Alexander Zverev tatkala kepulangan Serena Williams tidak kekal lama apabila kecederaan lututnya memaksa pemain Amerika Syarikat itu menarik diri daripada kejohanan pemanas badan sebelum Terbuka Perancis dua minggu lagi.

Elina yang mendapat bye pada pusingan pertama sebagai pilihan kelima mencatat mata perlawanan pada kedudukan 5-2 di set ketiga sebelum tewas 6-4, 1-6, 7-5 kepada pemain Belarus Victoria Azarenka dalam pertarungan selama dua jam 14 minit di Foro Italico yang dua kali tergendala akibat hujan.

Serena sebelum itu mengumumkan dia menarik diri, sebaik kembali selepas dua bulan akibat kecederaan sebelum dia sepatutnya menentang kakaknya Venus buat kali pertama dalam tempoh 21 tahun di Rome.

Pemain berusia 37 tahun itu mudah menewaskan pemain Sweden Rebecca Peterson pada pusingan pertama semalam, namun sehari kemudian dia tidak dapat meneruskannya kerana sakit di lutut kirinya.

Ketiadaan Serena membolehkan Venus, juara 1999 mara ke pusingan ketiga menentang sama ada pemain Britain Johanna Konta atau pilihan ketujuh dari AS Sloane Stephens.

Timbul kebimbangan sama ada Serena mampu mencatat kejuaran Grand Slam ke-24 di Paris selepas hanya beraksi sembilan perlawanan tahun ini dan satu di gelanggang tanah liat.

Gelaran terakhir perseorangan Grand Slam dimenanginya pada Terbuka Australia 2017 sewaktu dirinya hamil, berjaya mengatasi rekod Steffi Graf namun kurang satu berbanding Margaret Court.

Juara Terbuka Perancis tiga kali itu mengakui usaha untuk mendapatkan kecergasan lebih sukar daripada dijangka.

“Saya tidak dapat melakukan banyak latihan, saya tidak beraksi lebih lama daripada dijangka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 11:26 AM