PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran Lagu Rasmi Selangor di Muntiara Damansara. - Foto Aswadi Alias
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran Lagu Rasmi Selangor di Muntiara Damansara. - Foto Aswadi Alias
Oleh Syafiq Aznan

 

PERBINCANGAN membabitkan kemelut Stadium Shah Alam dilihat hanya dapat diselesaikan menerusi pertemuan antara 'orang nombor satu' Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan juga kerajaan negeri.

Justeru, Presiden FAS, Datuk Seri Subahan Kamal hanya bersedia mengadakan perbincangan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bukan sekadar bertemu wakilnya seperti dilakukan sebelum ini.

"Bagi saya, ia mudah. Menteri Besar jumpa presiden jadi senang untuk menyelesaikan masalah. Kalau setakat mahu jumpa wakil, saya rasa tidak perlulah kerana wakil FAS adalah saya memandangkan saya adalah presiden dipilih.

"Jadi saya rasa untuk selesaikan masalah ini, kita jumpa di mana-mana pun boleh kerana saya tidak ada masalah cuma jika mahu berbincang, biar saya berjumpa dengan Menteri Besar.

"Kalau setakat EXCO, saya rasa itu bukan perkara sepatutnya. Biar orang nombor satu dalam negeri (Menteri Besar) dan orang nombor satu dalam FAS iaitu saya berbincang untuk mencari jalan penyelesaian," katanya ketika ditemui pada Majlis Pra Pelancaran Lagu Rasmi Pasukan Selangor di Mutiara Damansara,  hari ini.

Menerusi kerjasama bersama FAS, pemuzik terkenal tanah air, Monoloque akan menghasilkan sebuah lagu rasmi untuk kegunaan pasukan Selangor sepanjang kempen saingan Liga Malaysia (Liga M) termasuk Liga Super, Piala FA dan juga saingan Piala Malaysia.

Bagaimanapun, Subahan yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak menolak kemungkinan skuad The Red Giants akan kekal beraksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sekiranya gagal mendapatkan Stadium Shah Alam sebagai venue rasmi pasukan itu.

"Nampaknya kami sudah serasi dengan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur apabila ia seakan memberi aura buat kami selepas kami memenangi dua perlawanan yang berlangsung di stadium itu sebelum ini.

"Jika dapat peluang beraksi di Stadium Shah Alam, itu sudah cukup bagus tetapi buat masa ini, kami selesa beraksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur. Malah saya yakin pasukan akan terus memberikan keputusan positif pada aksi di laman sendiri," katanya.

Sebelum ini, Badan Bertindak Penyokong Selangor (BBPS) terus mendesak kerajaan negeri supaya memberi kebenaran kepada juara Piala Malaysia 33 kali itu menjadikan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang rasmi mereka musim ini.

Naib Presiden BBPS, Mohamad Haniff Rana Manzor menjelaskan, penyokong Selangor kini menjadi mangsa pertikaian antara kerajaan negeri dan FAS yang bermula sejak musim lalu.

Untuk rekod, Selangor tidak dibenarkan beraksi di Stadium Shah Alam sejak musim lalu dan nasib sama menimpa pasukan terbabit musim ini hingga memaksa FAS 'menumpang' Stadium Bolasepak Kuala Lumpur untuk dijadikan sebagai gelanggang rasmi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 7:21 PM