MALEK Noor.
MALEK Noor.
Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Jangan lokek!. Itu gesaan Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Malek Noor kepada sektor swasta untuk memberikan ganjaran kepada pemenang pingat emas Olimpik pertama negara.

Sehingga kini masih belum ada pihak swasta tampil menjanjikan ganjaran sekiranya atlet meraih emas sulung negara berbanding ketika edisi London 2012 yang menyaksikan jongkong emas (RM2 juta) dan ganjaran wang tunai (RM1 juta) dijanjikan sebagai habuan.

“Saya fikir mungkin perkara ini turut dipengaruhi keadaan ekonomi, kita tidak berada dalam situasi terbaik dan lebih berhati-hati ketika berbelanja.

“Bagaimanapun saya berpandangan, pihak swasta tidak seharusnya lokek kerana sebarang ganjaran akan memberikan kesan positif kepada mereka.

“Jika cintakan sukan di Malaysia, anda tidak harus berkira dengan nilai ganjarannya,” katanya pada majlis pelancaran Fitness First Malaysia Power Plate Program, Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL), semalam.

Sejak Malaysia mula bersaing di pentas Olimpik pada 1964, negara masih kempunan untuk meraih emas pertama namun pada kali ini, peluang dilihat cerah.

Pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei dilihat berada pada tahap terbaik selepas meraih dua perak pada Olimpik 2008 dan 2012 selain Azizulhasni Awang serta Pandelela Rinong.

Sekiranya berjaya meraih emas, atlet berkenaan akan mendapat ganjaran kerajaan berjumlah RM1 juta selain pencen bulanan RM5,000.

“Jika ada yang minat dan berkemampuan, saya akan umumkan ganjaran itu secepat mungkin kerana ia turut memberikan imej baik untuk syarikat mereka selain sebagai motivasi kepada atlet.

“Namun terpulang kepada sektor swasta sekiranya mereka mahu mengumumkannya selepas kejayaan dicapai. Itu juga suatu tindakan wajar dalam menghargai pengorbanan atlet itu,” tambah bekas jaguh bina badan negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 8:48 AM