Azlan Muhammad Zain


Putrajaya: Ketua kontinjen negara ke Olimpik Rio Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid (gambar) tidak gusar walaupun masih tiada pihak swasta tampil menjanjikan ganjaran kepada atlet negara jika memenangi pingat emas pertama pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Berbanding edisi 2012 London apabila beberapa pihak tampil menjanjikan habuan, terutama kepada pemain badminton seperti jongkong emas seberat 12.5 kilogram bernilai RM2 juta yang ditawarkan Pengerusi Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) Datuk Seri Andrew Kam dan RM1 juta sumbangan syarikat perabot tempatan, 3V Holdings Sdn Bhd.

Al-Amin sebaliknya yakin ganjaran tetap akan diperoleh atlet negara sekiranya mampu menamatkan penantian Malaysia sejak kali pertama bertanding di Olimpik pada 1956.

“Saya ingat masih terlalu awal untuk perkara itu. Cukuplah dulu dengan dengan atlet mengetahui insentif kerajaan (menerusi Skim Hadiah Kemenangan (SHAKAM) yang sememangnya menanti mereka jika berjaya.

“Pada masa yang sama saya tidak mahu atlet terlalu memikirkan ganjaran pihak swasta sehingga mengganggu fokus mereka,” jelasnya.

SHAKAM yang disalurkan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN), sejak diumumkan 2008, menjanjikan insentif RM1 juta dengan pencen RM5,000 sebulan kepada pemenang pingat emas, RM300,000 untuk perak (pencen RM3,000) dan RM100,000 untuk gangsa (pencen RM2,000).

“Saya yakin sekiranya ada atlet negara muncul juara, ganjaran pihak swasta akan menjelma. Malah atlet negara pasti bersemangat selepas bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana emas Olimpik impian negara,” tambahnya.

Mengulas mengenai keadaan penginapan kumpulan pertama atlet negara yang kotor dan sebagainya, beliau berkata ia ibarat memasuki rumah baru.

“Sudah tentu ada kekurangan kerana perkampungan sukan ini baru. Namun saya dimaklumkan tuan rumah sudah menyelesaikan banyak masalah membabitkan perkara itu,” jelasnya.

Seramai 32 atlet negara akan beraksi di Olimpik Rio dengan harapan emas negara disandarkan kepada Datuk Lee Chong Wei, Azizulhasni Awang dan Pandelela Rinong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2016 @ 9:55 AM