Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tanggungjawab dalam membangunkan sukan negara termasuk membabitkan tawaran hadiah kepada atlet bukanlah semata-mata harus dilaksanakan oleh kerajaan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, syarikat swasta turut berperanan menggerakkan pembangunan sukan terutama membabitkan penajaan atlet di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, penajaan syarikat swasta cukup penting untuk persatuan sukan merangka strategi dalam usaha melahirkan atlet terbaik untuk negara.

"Sebagai Presiden MOM tentulah saya mengalukan tawaran syarikat swasta. Seperti selalu saya katakan pembangunan sukan negara bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan.

"Kita mahu banyakkan lagi syarikat swasta menaja bukan saja membabitkan tawaran ganjaran tetapi turut membabitkan dana program sukan lain.

"Menerusi tawaran ganjaran RM1 juta sudah tentu akan memberi semangat dan meningkatkan lagi moral atlet untuk mencipta kejayaan di sukan Olimpik kelak," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan pemenang pingat emas Olimpik Paris 2024 bakal bergelar jutawan apabila BT Bina Group Sdn. Bhd. bersedia menawarkan wang tunai berjumlah RM1 juta kepada atlet yang berjaya meraih kejayaan di temasya itu.

Ganjaran diberikan bagi meniup semangat atlet negara untuk berusaha bersungguh-sungguh merealisasikan impian semua pihak yang mahu menamatkan kemarau pingat emas pertama Malaysia di pentas Olimpik.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BT Bina Group Datuk Seri David Tan berkata, usaha dan strategi untuk memenangi pingat emas itu perlu bermula sekarang bagi merealisasikan misi negara dan pihaknya berharap tawaran tersebut mampu meningkatkan lagi motivasi atlet negara memburu pingat emas Olimpik pertama buat negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 8:47 PM