Daripada Aziman Rosdi di Hanoi


Sentuhan jurulatih Vietnam dari Jepun Toshiya Miura yang dilabel Jose Mourinho Asia oleh penyokong mereka gagal merealisasikan impian menggunung untuk layak ke final Piala AFF selepas kecundang di tangan Biarpun memiliki kelebihan hasil kemenangan 2-1 pada pertembungan separuh akhir pertama di Shah Alam Ahad lalu, Vietnam juara 2008 mensia-siakan peluang itu selepas tunduk 2-4 pada aksi timbal balik di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi.

Ternyata kegagalan itu cukup mengecewakan Miura khususnya persembahan hambar anak buahnya pada babak pertama dengan membenarkan Harimau Malaya menyumbat empat gol.

“Ini persembahan terburuk kami dan mungkin juga antara keputusan terburuk dalam karier saya selaku jurulatih.

“Kami tidak bermain baik pada separuh masa pertama apabila pemain pertahanan banyak memberi ruang kepada lawan mencipta peluang.

“Kami mendominasi permainan pada babak kedua, tapi belum cukup buat kami,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Kekalahan itu pasti pahit untuk ditelan buat penyokong Vietnam selepas pasukan mereka turut tewas pada separuh akhir 2008 kepada Malaysia menerusi agregat 2-0.

Miura bagaimanapun menolak dakwaan pemainnya beraksi sambil lewa kerana cukup yakin dapat menggenggam tiket ke final selepas menang di Shah Alam.

“Saya tidak fikir pemain tidak bersungguh-sungguh, cuma mereka banyak melakukan kesilapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 6:48 AM