MENARIK aksesori deko dihasilkan Ismahar menggunakan resin epoksi.
MENARIK aksesori deko dihasilkan Ismahar menggunakan resin epoksi.
Nurul Husna Mahmud


PERANAN resin epoksi pada kerja kayu selalu dilihat hanya menyumbang sebahagian kecil kerja kemasan iaitu sebagai pelekat atau penguat material.

Siapa sangka dengan sentuhan kreatif tukang kayu, epoksi boleh menjadi elemen utama mencantikkan kerja kayu.

Buktinya, tukang kayu artisan yang juga pencipta kandungan media sosial, Ismahar Ismail, 46, yang tampil kreatif apabila mengetengahkan penggunaan epoksi dalam perincian perabot kayu dihasilkannya.

Kata Ismahar, penggunaan epoksi iaitu sejenis polimer dalam kerja tampalan kayu. Ia kemudian dikembangkan kepada kerja-kerja kemasan kayu untuk menghasilkan perabot unik.

"Apabila saya mula beralih kepada kerja kayu ketika Covid-19 pada 2020, saya cari penyelesaian kepada kerja tampalan kayu.

"Saya dapati penggunaan serbuk kayu dan bahan lain untuk menampal lubang kayu tidak begitu memuaskan.

"Ketika itu saya terjumpa kaedah menampal lubang kayu menggunakan resin epoksi," katanya.

Tambah Ismahar, resin epoksi bersifat kristal jernih dilihat satu kelebihan apabila berfungsi sebagai kemasan permukaan perabot.

ISMAHAR melihat material resin epoksi bukan sekadar bahan pelekat tetapi juga kemasan kayu bernilai tinggi.
ISMAHAR melihat material resin epoksi bukan sekadar bahan pelekat tetapi juga kemasan kayu bernilai tinggi.

"Selepas saya melihat epoksi memberi efek memuaskan dalam kerja-kerja tampalan kayu, idea saya terus berkembang kepada salutan permukaan meja.

"Percubaan pertama saya ketika itu ialah kemasan pada permukaan meja palet. Ia memberi hasil yang menarik.

"Saya tertarik dengan potensi resin epoksi dan mula buat carian mengenai kegunaan polimer pengikat bahan binaan itu di internet.

"Di situlah saya lihat hasil resin epoksi sangat unik dan menarik apabila banyak digunakan dalam pembuatan perabot sehinggalah kepada material kemasan lantai," katanya.

Antara produk yang cukup popular ketika itu ialah meja sungai atau dikenali sebagai 'river table' dalam kalangan peminat perabot berasaskan resin epoksi.

ISMAHAR menyembur pengilat pada permukaan resin epoksi.
ISMAHAR menyembur pengilat pada permukaan resin epoksi.

"Di luar negara penggunaan resin epoksi yang tengah tular ketika itu ialah pembuatan kraf untuk meja sungai.

"Merujuk kepada perabot yang menggunakan kepingan kayu buangan mempunyai lakaran imej unik terbentuk secara semula jadi pada kayu.

"Biasanya aliran corak seperti pusaran atau gegelang menghasilkan visual yang cantik apabila resin epoksi menyaluti permukaan meja terbabit," katanya.

Selain 'river table,' Ismahar turut menghasilkan aksesori dinding, konsol meja dan perhiasan rumah menggunakan resin epoksi.

"Saya menghasilkan perabot berasaskan resin epoksi kerana minat. Hasil akhir produk epoksi jarang mengecewakan.

ISMAHAR bijak menggunakan tona warna mampu membuatkan hasil kerja tangannya tampak eksklusif.
ISMAHAR bijak menggunakan tona warna mampu membuatkan hasil kerja tangannya tampak eksklusif.

"Apatah lagi jika diletakkan di bawah lampu atau dilengkapi dengan efek pencahayaan, visual terhasil sangat cantik.

"Ini membuatkan peminat kerja kayu 'menggila' dan sanggup berhabis untuk mendapatkan perabot berasaskan resin epoksi.

"Ia dilihat sebagai hasil seni yang boleh dinikmati dan tidak hairanlah harga perabot resin epoksi boleh mencecah lima angka," katanya.

Menyentuh proses terpenting dalam penghasilan perabot epoksi, katanya yang juga perunding pemasaran kandungan digital, menyiapkan permukaan kayu bagi kerja-kerja menyalut resin epoksi sangat penting selain memahami formula bancuhan resin epoksi itu sendiri.

"Sifat epoksi sebenar ialah cair dan untuk menjadikan ia keras, perlu campuran bahan pengeras (hardener).

RESIN epoksi yang juga polimer bersifat kristal jernih menyerlah corak kayu.
RESIN epoksi yang juga polimer bersifat kristal jernih menyerlah corak kayu.

"Dengan nisbah campuran betul, epoksi boleh menjadi material padat, kuat dan tahan terhadap suhu tinggi," katanya.

Kata Ismahar lagi, penggunaan epoksi menjadi mudah jika tukang kayu atau pembuat perabot memahami sifat bahan terbabit.

"Mereka yang ingin menghasilkan perabot dengan dekorasi resin epoksi juga memerlukan kemahiran dalam mengendalikan bahan ini kerana sebatiannya perlu sukatan betul, selain teknik untuk membuat lapisan pada perabot.

"Kurang ilmu dan tidak memahami penggunaan epoksi boleh menyebabkan resin epoksi membentuk buih atau kayu menjadi hitam sehingga mencacatkan penampilan perabot, di samping berlaku pembaziran jika sukatan salah," katanya.

SENTUHAN kreatif resin epoksi pada perincian kerja kayu, perabot mampu jana pendapatan tinggi
SENTUHAN kreatif resin epoksi pada perincian kerja kayu, perabot mampu jana pendapatan tinggi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 6:40 AM