FOTO hiasan
FOTO hiasan
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menahan seorang lelaki berusia 46 tahun disyaki terbabit dengan sindiket penipuan skim cepat kaya, dalam serbuan di sebuah kondominium di Taman Sri Hartamas, di sini, jam 1 pagi tadi.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ketika serbuan suspek cuba menyorok di dalam bilik di kediaman terbabit bagi mengelak dari ditahan polis.

"Bagaimanapun, anggota berjaya menahan lelaki tempatan berusia 46 tahun itu.

"Siasatan awal juga mendapati suspek sudah melakukan persiapan untuk melarikan diri keluar negara," katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, tangkapan terbaru itu menjadikan seramai 16 individu ditahan terbabitkan dengan sindiket berkenaan.

Katanya, sindiket berkenaan membabitkan seramai 50,000 pelabur dengan pelaburan hampir RM50 juta.

"Polis masih mengesan beberapa inidividu dipercayai terbabit dalam skim ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 11:35 AM