FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Iskandar Shah Mohamed


Klang: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini masing-masing atas dua pertuduhan mencari dan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas IS antara Mac dan Jun lalu.

Tertuduh, Mohmad Zaini Mohmad Isa, 31, dan Roshelmyzan Husain, 31, mengangguk faham akan pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Majistret Nor Asma Ahmad.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut dua pertuduhan, Mohmad Zaini didakwa memberi sokongan kepada IS dan melindungi penahanan Junios Ondie @ Jahali yang diketahui melakukan perbuatan pengganas di sekitar daerah ini masing-masing antara 25 Mac hingga 30 Jun lalu.

Manakala, Roshelmyzan didakwa mencari sokongan kepada IS melalui aplikasi Telegram dan memiliki item berunsur perbuatan pengganas di sekitar daerah ini antara 25 Mac hingga 29 Jun.

Justeru, mereka masing-masing melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130J (1) (a), 130K (a), 130 (1)(a) dan 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan.

Nor Asma membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali tidak menawarkan kos ikat jamin bagi mengelak tertuduh melarikan diri.

Sebutan semula kedua-dua kes ditetapkan pada 7 September dan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2016 @ 11:32 AM