MOHD Shaiful Shahril Ramli diiringi pihak berkuasa. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
MOHD Shaiful Shahril Ramli diiringi pihak berkuasa. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: Pemuda 28 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas empat pertuduhan memiliki bahan letupan dan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daish mulai Mac sehingga Julai lalu.

Tertuduh Mohd Shaiful Shahril Ramli hanya mengangguk faham sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Shakirah Mohtaruddin namun tiada pengakuan direkodkan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa pada 25 Mac hingga 30 Jun telah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daish di dalam satu aplikasi telegram atas nama Putra Zulkarnain dan 'anonymous' dan dengan itu dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130 J (1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa pada 26 Jun hingga 29 Jun telah memberi sokongan kepada perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan bahan letupan dan perbuatan itu dilakukan dengan niat untuk melanjutkan suatu perjuangan ideologi dan ia dianggap untuk mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi telegram dan dengan itu dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130 J(1)(b) Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh pada 22 Julai didakwa memiliki barangan yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan kumpulan pengganas iaitu sehelai baju sejuk dan sehelai bendera yang mempunyai lambang Daish dan dengan itu dia telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130 JB (1)(a).

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh pada 22 Julai didakwa memiliki bahan letupan yang mengandungi campuran 'sodium chlorate' dan sucrose yang masing-masing berfungsi sebagai 'oxidizer' dan 'fuel' yang tersenarai dalam Seksyen 2 Akta Bahan Letupan 1957 dan dengan itu dia telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Semua perbuatan itu dilakukan di No 3 Lorong Indah 1, Kampung Sri Indah B, Sungai Buloh.

Siti Shakirah kemudiannya menetapkan 20 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Cheng Heng Kher manakala tertuduh diwakili K.A Ramu Vasanthi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 11:42 AM