Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Empat belas 14 individu ditahan Bahagian Cawangan Khas Anti Pengganas (E8) Bukit Aman antara 14 hingga 20 Julai lalu, selepas disyaki terbabit dengan Daish.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan berkata, tangkapan dilakukan selepas melancarkan operasi di Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.

Menurutnya, semua yang diberkas berusia antara 20 hingga 49 tahun.

"Dua belas suspek yang ditahan adalah anggota sama yang ditahan dalam operasi hujung bulan lalu.

"Mereka dipercayai menerima arahan daripada Muhamamad Wanndy Mohamed Jedi untuk melancarkan serangan di negara ini," katanya.

Khalid berkata, seorang daripada suspek mengaku berkongsi kaedah membuat bahan letupan melalui aplikasi Telegram dengan lain-lain anggota pengganas.

"Suspek juga mengaku menerima arahan daripada Muhammad Wanndy untuk menghasilkan bahan letupan bagi melancarkan serangan di Lembah Klang.

"Bagi tujuan itu, Muhammad Wandy akan membekalkan sepucuk pistol kepada suspek melalui orang perantaraan sebagai persediaan mempertahankan diri sekiranya ditangkap polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2016 @ 3:51 PM