LELAKI warga asing dan wanita tempatan yang ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan kumpulan Daish.
LELAKI warga asing dan wanita tempatan yang ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan kumpulan Daish.
Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Tiga lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan ditahan pasukan polis Bahagian Cawangan Khas Anti Pengganas (E8) Bukit Aman antara 13 hingga 19 Januari lalu, selepas disyaki terbabit dengan kumpulan Daish.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tangkapan dilakukan selepas melancarkan operasi di Sabah dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, suspek utama ditahan pada 13 Januari lalu adalah lelaki warga Filipina berusia 31 tahun yang bekerja sebagai penjual jam di Kota Kinabalu, Sabah.

"Lelaki terbabit adalah anggota sel kumpulan pengganas Daish di bawah pimpinan Dr Mahmud Ahmad iaitu bekas pensyarah Universiti Malaya yang menyertai Daish di Selatan Filipina.

"Suspek juga berbaiah dengan Dr Mahmud dan diarah untuk merekrut serta mengatur penyusupan masuk anggota baru Daish dari Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan etnik Rohingya ke selatan Filipina," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Khalid berkata, suspek kedua adalah wanita tempatan berusia 27 tahun yang ditahan bersama lelaki warga Filipina terbabit di Kota Kinabalu, Sabah.

"Wanita berasal dari Selangor ini direkrut pada awal Januari lalu melalui media sosial dan dia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 13 Januari lalu untuk bertemu suspek di Kota Kinabalu.

"Mereka merancang berlepas ke Sandakan sebelum menyusup masuk ke Selatan Filipina dan ketika ditahan wanita terbabit mengaku sudah berkahwin dengan lelaki warga Filipina itu," katanya.

Beliau berkata,dua lagi suspek adalah lelaki warga Bangladesh berusia 27 dan 28 tahun ditahan di Kuala Lumpur pada 19 Januari lalu.

"Kedua mereka bekerja sebagai jurujual itu direkrut suspek pertama dan mereka merancang menyertai kumpulan Daish di Selatan Filipina selain turut mempunyai hubungan dengan Daish yang beroperasi di Bangladesh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 January 2017 @ 7:29 PM