Asrizal Aris


"SELALU hanya tengok dalam televisyen, kali ini dapat makan dan menyanyi bersamanya yang tidak semua orang boleh dapat pengalaman ini."

Itu kata penghuni Pusat Jagaan Sri Mesra, Kuala Lumpur yang mahu dikenali sebagai Mak Lang, 75, yang teruja dengan kehadiran penyanyi terkenal Faizal Tahir, pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Red Box Karaoke di pusat jagaan berkenaan, Rabu lalu.

Mak Lang berkata, dia bersama 14 penghuni warga emas yang lain sudah dimaklumkan bahawa Faizal akan muncul pada majlis itu dan teruja untuk bertemu dengan penyanyi itu.

Katanya, dia bagaikan tidak percaya Faizal sebagai artis popular boleh melayan penghuni di pusat jagaan berkenaan dengan sangat mesra dan tidak kekok untuk mengendalikan warga emas di situ.

"Saya boleh rasakan keikhlasan dan kasih sayang Faizal sebagai seorang anak atau cucu. Sekurang-kurangnya terubat rindu kepada lima anak saya yang tidak datang menjenguk pada Hari Raya baru-baru ini.

"Kami semua sangat seronok kerana penganjur sudi adakan majlis hari raya di tempat kami ini yang kecil ini," katanya yang sudah lebih setahun menghuni Pusat Jagaan Sri Mesra, Ampang.

Menurut Mak Lang, pengalamannya berduet menyanyikan lagu raya bersama Faizal adalah kenangan yang tidak akan dapat dilupakan.

Faizal mewakili #iAMFAITHMEN berkata, penganjuran itu adalah kali kedua mereka bekerjasama dengan Red Box Karaoke dalam mengadakan program amal meraikan insan yang memerlukan.

"Tahun lepas kami berkolaborasi memfokuskan kepada anak yatim dan usaha kami ini adalah untuk menghiburkan insan yang kurang kasih sayang.

"Saya berharap dengan penganjuran ini membuka mata orang ramai bahawa industri hiburan juga boleh membuat kebaikan serta mengadakan program amal," katanya.

Menurutnya, #iAMFAITHMEN sedang giat merangka pelbagai program amal serta aktiviti positif yang membawa ke arah kebaikan dalam usaha menarik lebih ramai sukarelawan.

Sementara itu, pengasas pusat jagaan, Razali Mohamed, 39, berkata, pusat jagaan itu ditubuhkan sejak lebih lima tahun lalu selepas mendapat ilham apabila kerap menjalankan program kebajikan kerjasama pelbagai agensi.

 "Lebih 10 tahun saya dan isteri, Faezah Ali, 38, aktif dengan program kebajikan. Pengalaman kami bersama mereka yang tidak bernasib baik menjadi pendorong menubuhkan sebuah pusat jagaan menggunakan simpanan kami sendiri.

 "Walaupun berbelanja RM8,000 hingga RM10,000 setiap bulan, kami tidak kisah kerana hati kami lebih tenang apabila melihat kumpulan warga emas ini gembira apabila mendapat perhatian penuh," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pihaknya berharap badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan seperti Red Box Karaoke memperbanyakkan program kebajikan supaya golongan tidak bernasib baik tidak dipinggirkan dan menerima kasih sayang yang sepatutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 11:15 PM
Faizal Tahir beramah mesra bersama penghuni pusat jagaan warga emas (Muslimah) Sri Mesra pada majlis rumah terbuka aidilfitri dan penyerahan cek "Raikan Raya" anjuran Red Box Karaoke Bersama #iAMFAITHMEN Movement & Awang Brand. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.
Faizal Tahir beramah mesra bersama penghuni pusat jagaan warga emas (Muslimah) Sri Mesra pada majlis rumah terbuka aidilfitri dan penyerahan cek "Raikan Raya" anjuran Red Box Karaoke Bersama #iAMFAITHMEN Movement & Awang Brand. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI.