Syafil Syazwan Jefri


Lama rasanya tidak mendengar lagu baru dendangan Aizat Amdan. Terbaru, penyanyi yang juga komposer ini hadir dengan single Jangan Menangis.

Kolaborasi pertamanya dengan Faizal Tahir dan Mike Chan ini benar-benar menjadi. Melodinya masih berteraskan balada namun diadun dengan beberapa elemen yang menampilkan keunikan dalam lagu ini.

Vokal Aizat juga tidak perlu dipertikaikan lagi, merdu dan sedap didengar. Paling ketara ia dapat memberi ketenangan kepada pendengar.

Pada masa sama pendengar dapat merasai sentuhan Faizal Tahir. Liriknya pula jika diamati, membicarakan mengenai semangat melawan penderitaan. Oleh itu, ia sesuai dijadikan ‘anthem song’.

Secara keseluruhan, Jangan Menangis ini memaparkan sisi matang Aizat.

Aizat berkata, lagu ini adalah perkongsian pengalamannya ketika mengikuti misi kemanusiaan di Syria.

“Di sana, saya raih pelbagai pengalaman baru. Sebagai manusia, ada beberapa benda yang buat saya tersentuh.

“Kemudian saya garap semuanya dalam bentuk kata-kata dan diabadikan dalam Jangan Menangis,” katanya.

Selain itu, Aizat turut berkongsi mengenai proses kematangan yang dilaluinya.

“Menerusi lagu ini, saya cuba sampaikan kepada keluarga bahawa saya mampu hidup sendiri,” kata Aizat yang mengharapkan single itu mendapat sambutan.

Bagi Faizal pula, peluang berkolaborasi dengan Aizat umpama mimpi menjadi kenyataan.

“Sudah lama saya teringin berkolaborasi dengan Aizat dan ini masa yang tepat untuk kami hadir dengan lagu baru.

“Aizat boleh menjadi inspirasi buat generasi muda. Tak ramai anak muda seusianya berpeluang melakukan -kerja kemanusiaan dan menerusi lagu ini segala pengalaman itu boleh disampaikan kepada masyarakat,” katanya.

Jangan Menangis bakal dimuatkan dalam album terbaru Aizat.

INFO

• Lagu: Jangan Menangis

• Penyanyi: Aizat Amdan

• Komposer dan lirik: Aizat Amdan, Faizal Tahir & Mike Chan

• Label dan edaran: Faithful Music, Warner Music Malaysia & Kasi Gegar Entertainment

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 9:26 AM