myMetro

Kuala Lumpur: “Tiada pemain sedar insiden itu sehinggalah video dimuat naik di Youtube,” kata salah seorang pemain Skuad Projek Sukan SEA 2017 mengenai dakwaan jurulatih Frank Bernhardt (gambar) mengasari pegawai seranta dari Jepun dalam satu perlawanan persahabatan 22 Jun lalu.

Dia yang enggan namanya didedahkan mengakui terkejut selepas melihat rakaman insiden berkenaan yang berlaku ketika aksi menentang kelab Jepun Shonan Bellmare dengan berkesudahan skuad muda negara tumpas 0-1.

“Memang ketika itu perlawanan terhenti seketika namun insiden itu berlaku agak pantas dan pemain tak perasan. Saya bermain dalam perlawanan itu namun berada agak jauh dari tempat kejadian.

“Namun selepas perlawanan sehingga pulang ke Malaysia, tiada pemain bercerita mengenai insiden itu sehingga kami menonton rakaman video menerusi Youtube. Malah apabila pulang ke hotel selepas perlawanan itu, pegawai seranta itu pula seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang masalah.

“Memang terkejut apabila melihat video itu tapi beliau (Berhardt) seorang jurulatih yang tak mahu kalah, mungkin beliau terlalu semangat dalam perlawanan itu,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan mengenai kemungkinan jurulatih dari Jerman Bernhardt bakal dikenakan tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana didakwa mengasari pegawai seranta menerusi rakaman video bertajuk ‘rude malaysia u22 coach’ di Youtube.

Rakaman video berdurasi 1 minit 11 saat itu menunjukkan Berhardt yang dilantik FAM pada Disember lalu seperti menolak muka pegawai berkenaan yang cuba menenangkannya selepas bertelagah dengan pengadil perlawanan.

“Kami tidak pernah lihat beliau berkasar dengan mana-mana pemain dalam latihan sebelum ini. Tapi beliau memang jurulatih yang tegas. Pemain OK dengan latihannya jadi tidak ada masalah,” kata pemain skuad bawah 22 tahun itu.

Dalam perkembangan lain Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya sudah menghubungi Bernhardt yang kini sedang bercuti untuk menghantar surat tunjuk sebab berhubung insiden berkenaan.

“Buat masa ini, pihak kami akan mendapatkan laporan dari pihak pengurusan pasukan dan Jabatan Undang-Undang FAM sebelum mengarahkan Bernhardt menunjukkan surat tunjuk sebab.

“FAM akan menunggu penjelasan penuh beliau di atas tindakannya menerusi surat tunjuk sebab itu sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 9:13 AM