RAKAMAN yang dimuat naik di YouTube menunjukkan Bernhardt (kiri) mengasari pegawai seranta.
RAKAMAN yang dimuat naik di YouTube menunjukkan Bernhardt (kiri) mengasari pegawai seranta.
myMetro

Kuala Lumpur: Tidak sampai setahun mengendalikan Skuad Projek Sukan SEA 2017, jurulatih Frank Bernhardt kemungkinan bakal dikenakan tindakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila didakwa mengasari pegawai seranta (LO) ketika pasukannya tumpas 0-1 kepada kelab Jepun, Shonan Bellmare pada 22 Jun lalu.

Insiden itu didedahkan menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman sosial Youtube dengan tajuk ‘rude malaysia u22 coach.’

Melihat kepada rakaman video berdurasi 1 minit 11 saat itu, Bernhardt, jurulatih kelahiran Jerman yang dilantik jurulatih Disember tahun lalu bertelagah dengan pengadil di tepi padang kerana tidak berpuas hati mutu pengadilan.

Pegawai seranta dari Jepun itu cuba untuk menenangkan keadaan, namun Bernhardt yang ketika itu sudah beredar dari kawasan pengadil dilihat menolak muka pegawai berkenaan.

Difahamkan pihak FAM sudah dimaklumkan mengenai insiden berkenaan dan mahu meminta penjelasan terperinci daripada Bernhardt yang kini masih bercuti.

Selain itu, FAM juga bakal menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) untuk mengetahui situasi sebenar dan jika Bernhardt didapati bersalah mengasari pegawai itu, FAM dijangka mengambil tindakan tegas.

Sebelum ini, Bernhardt, bekas jurulatih skuad remaja Estonia yang mengadakan perlawanan persahabatan sejak 10 Jun lalu di Jepun sepatutnya dijadual mengharungi tiga pertemuan, tetapi cuaca buruk menyebabkan aksi menentang satu lagi kelab divisyen satu, Yokohama FC terpaksa dibatalkan pada 13 Jun lalu.

Bagi siri pertama perlawanan persahabatan, skuad muda negara mengikat FC Machida Zelvia 3-3 pada 20 Jun lalu.

Bernhardt yang dilantik menggantikan Datuk Ong Kim Swee mengadakan siri latihan dan perlawanan persahabatan di Jepun sebagai persiapan menggalas misi memenangi pingat emas Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun depan.

Pada tugasan pertama Jun lalu, Bernhardt menyaksikan anak buahnya tewas 1-2 kepada Thailand pada perlawanan akhir Piala Negara-Negara 2016 di Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 8:44 AM