SUHAIMI bersama keluarga.
SUHAIMI bersama keluarga.
ANAK Suhaimi ketika 'busking' di bazar Ramadan.
ANAK Suhaimi ketika 'busking' di bazar Ramadan.
Syanty Octavia Amry


Nama bekas anggota In-Team, Suhaimi Saad tiba-tiba menjadi bualan hangat di laman sosial. Selepas dia memuat naik status berkenaan isu vaksin, satu demi satu kisah hidupnya dibongkar dan dijadikan bahan cerita oleh pengguna laman sosial atau ‘netizen’.

Tidak menyangka perkara itu boleh menjadi viral, Suhaimi mengganggap apa yang terjadi adalah kebetulan.

Ini kerana sebelum ini dia sering kali memuat naik apa saja status yang dirasakan terdetik dihatinya namun tidak menyangka isu vaksin memberi impak besar dalam hidupnya.

Malah, Suhaimi yang dalam proses melancarkan single terbarunya duet bersama isteri, Ina Naim berjudul Jutawan Pemurah menjadikan apa yang berlaku adalah rezeki dan peluang lebih mudah dia mempromosikan single berkenaan.

Bersama wartawan Rap Harian Metro, Syanty Octavia Amry () Suhaimi berkongsi ceritanya.

RAP: Anda mengulas isu vaksin di laman Facebook milik anda. Adakah sebelum ini anda memang seorang aktif memuat naik apa juga isu yang ada?

Suhaimi: Saya memang sering memuat naik apa saja status yang dirasakan ingin dikongsi di laman Facebook. Sebelum ini saya juga sering berkongsi kisah peribadi atau apa juga cerita mengenai diri dan keluarga saya.

Namun saya tidak menyangka isu vaksin menarik perhatian ramai sehingga pengikut saya bertambah begitu mendadak. Jika sebelum ini komen dan ‘like’ yang saya terima hanya beberapa ratus saja.

Tetapi isu vaksin mendapat maklum balas luar biasa sehingga ribuan komen yang saya terima. Pelbagai komen negatif dan positif yang diberikan oleh pembaca.

Tidak saya nafikan isu vaksin menyebabkan pengikut saya di Facebook meningkat sehingga 12,000 orang.

RAP: Anda dalam proses melancarkan single berjudul Jutawan Pemurah. Adakah ini strategi untuk mempopularkan single berkenaan?

Suhaimi: Sebenarnya semua yang berlaku hanyalah kebetulan. Saya memang tidak terfikir status vaksin dilihat turut membantu mempromosikan single ini. Apa yang saya komen hanyalah pandangan peribadi saya sendiri.

Tidak sangka pula ia mendapat perhatian ramai. Apa yang berlaku saya anggap rezeki dan satu rahmat dan saya percaya setiap yang berlaku itu ada baik dan buruknya dan pastinya akan ada yang terbaik untuk saya.

RAP: Anda seperti dilihat cuba mencari publisiti murahan. Selepas isu vaksin, tersebar pula gambar anak anda dikatakan meminta sedekah di bazar Ramadan dan pasar malam. Boleh jelaskan?

Suhaimi: Anak saya bukan meminta sedekah sebaliknya dia mengadakan persembahan ‘busking’ bersama-sama dengan saya. Apabila gambar yang diambil hanya merujuk kepada anak terlihat seperti saya membiarkan mereka meminta sedekah.

Apa yang berlaku sebenarnya adalah proses untuk mereka lebih mendekatkan diri dengan orang ramai. Anak saya juga bakal tampil dengan single mereka dan peluang mengadakan busking ini saya gunakan untuk memberi pendedahan kepada mereka.

Saya mahu mereka menjadi orang yang berani apabila berdepan dengan orang ramai. Dalam pada itu ‘busking’ itu juga saya gunakan membuat kutipan derma bagi mendapatkan dana untuk Sabah Care yang melantik saya dan Ina menjadi duta mereka.

Nasihat saya kepada mereka di luar sana, jika hendak memberi komen janganlah sampai memalukan diri sendiri.

Berilah komen yang membina dan jadilah orang yang bijak setiap kali hendak meninggalkan komen di laman sosial.

RAP: Melihat penampilan Ina sekarang ini yang sudah membuka purdah, apakah komen anda?

Suhaimi: Purdah bukanlah wajib untuk wanita. Ina membukanya selepas dia kembali aktif dalam bidang seni. Apabila ada stesen TV yang mahu Ina membukanya saya tiada masalah.

Jika sebelum ini Ina menyepi kerana dia sibuk menguruskan anak tambahan pula anak kecil masih menyusu badan.

Sekarang masing-masing sudah besar dan boleh ditinggalkan kepada orang lain jadi memudahkan Ina kembali aktif dalam bidang seni.

Lagipun saya tidak melihat purdah itu sebagai isu yang besar kerana ramai wanita berkerjaya memakai purdah. Ia adalah pilihan dan keselesaan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2016 @ 9:59 AM