KEMENANGAN pada AME2015 satu kejutan malah Johan hanya mahu bergembira sebagai hos.
KEMENANGAN pada AME2015 satu kejutan malah Johan hanya mahu bergembira sebagai hos.

Kemunculannya menerusi produk TV atau filem sejak kebelakangan ini mungkin sangat jarang, namun pada malam gilang-gemilang Anugerah MeleTop Era 2015 (AME2015) Ahad lalu, pelawak berkaliber, Johan, 30, tetap menang besar.

Membawa pulang empat trofi, TopTop MeleTop Lelaki, Penyampai Radio MeleTop, Artis Lawak MeleTop dan Program Radio MeleTop bersama Haniff dan Ray, dia membuktikan dirinya masih kekal relevan meskipun tidak banyak kemunculan.

Aktif sejak 2007, Johan atau nama penuhnya Mohd Yazid Lim kebelakangan ini lebih menumpukan perhatian kepada keluarganya selain terus aktif di konti mengendalikan program JoHaRa. Berbanding barisan calon lain yang kuat di AME2015, kemenangan Johan memang tidak disangka.

Bahkan, menerusi reaksi yang ditunjukkannya sewaktu diumumkan terutama sekali bagi kategori TopTop MeleTop Lelaki, dia sendiri tidak sangka kemenangan itu berpihak kepadanya.

Apakah sebenarnya strategi pelawak dicungkil daripada rancangan Raja Lawak musim pertama itu sehinggakan namanya masih kekal kukuh? Ikuti wawancara wartawan RAP, GEORGIE JOSEPH ([email protected]) bersama Johan.

RAP: Tahniah atas kemenangan anda. Bagaimana perasaan anda sekarang?

J(Johan): Terkejut! Malam ini (Ahad) saya sebenarnya mahu melunaskan tugas sebagai pengacara saja dan tujuan asal pun memang untuk bergembira me-ngendalikan acara. Apabila tahu menang, saya jadi emosional dan tak terkata.

RAP: Apa makna kemenangan itu kepada anda?

J: Saya percaya sudah tiba masanya Allah SWT bagi rezeki dan sebenar-nya secara jujur saya yakin ini adalah rezeki anak dan isteri. Bagaimanapun, saya anggap kemenangan ini sebagai ujian mengingatkan saya untuk terus bekerja keras supaya jadi lebih bagus.

RAP: Ada menyasarkan untuk menang mana-mana kategori?

J: Ini bukan hati saya sendiri yang terdetik, tetapi orang rapat sekeliling terutama peminat mengatakan mungkin saya boleh menang kategori penyampai radio.

RAP: Anda rasa siapa artis yang cukup kuat untuk menang sebenarnya?

J: Seperti saya katakan saya hanya mahu bergembira malam itu sebagai hos, saya tidak memikirkan langsung mengenai kategori dipertandingkan. Apa yang saya pentingkan adalah kelancaran majlis itu memandangkan saya juga sebahagian pengemudi penting malam itu.

RAP: Secara peribadi, apa yang membuatkan nama Johan masih kuat, diterima baik serta bertahan sampai kini?

J: Saya dengan peminat sangat rapat. Bagaimanapun, saya tidak akan berkira dengan siapa pun apabila jumpa di luar sama ada mereka peminat saya atau bukan, saya tetap layan sama rata.

Bagaimanapun, terus terang, saya bersyukur isteri (Ozlynn) menjadi tulang belakang yang paling penting selama ini. Dialah sebenarnya penilai utama saya sejak mula dulu. Dia akan memberi komen serta memberitahu apa yang kurang, apa perlu ditambah dalam segala apa saya lakukan membabitkan kerjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Februari 2015 @ 9:02 AM