CALIPH Buskers bersama Mojo di AJL29 Ahad lalu.
CALIPH Buskers bersama Mojo di AJL29 Ahad lalu.
CALIPH Buskers bersama Mojo di AJL29 Ahad lalu.
CALIPH Buskers bersama Mojo di AJL29 Ahad lalu.

Caliph Buskers mungkin nama yang asing dalam industri seni muzik tanah air, namun ia sudah terkenal bagi penggemar pemuzik 'busking' atau pemuzik jalanan.

Mula menghiburkan orang ramai di sekitar Kuala Lumpur sejak setahun lalu, nama berkenaan terus menjadi perhatian dan 'viral' di laman sosial selepas menunjukkan persembahan bertenaga pada Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29) malam Ahad lalu.

Bergandingan dengan kumpulan Mojo mempersembahkan lagu Romancinta, nyata bakat mereka begitu luar biasa meskipun fizikal tidak sempurna.

Dianggotai oleh enam anak muda yang cacat penglihatan, vokalisnya, Khairul Azmi Mohd Saat, 28, tidak menyangka diberi peluang membuat persembahan pada malam berprestij itu.

Bersama wartawan RAP, Syanty Octavia Amry ([email protected]), Azmi berkongsi pengalaman barunya ketika ditemui selepas sidang media AJL29 baru-baru ini.

RAP: Kongsi latar belakang anda dan kumpulan.

AZMI: Saya berasal dari Mersing, Johor. Sudah menetap tujuh tahun di Kuala Lumpur dan mula bermain busking sejak setahun lalu.

Asalnya saya bekerja sebagai tukang urut di Hospital Mata Tun Hussein Onn dan selepas menyedari diri begitu meminati muzik saya mula membabitkan diri dengan bermain busking.

Melalui 'Malaysian Buskers Club' saya bertemu kawan dan kami bersatu menubuhkan Caliph Buskers sehinggalah hari ini.

RAP: Bagaimana anda dan kumpulan boleh menerima lamaran Mojo untuk beraksi di AJL29?

AZMI: Edry bertemu saya selepas menyaksikan persembahan kami di hadapan pusat beli-belah Sogo baru-baru ini. Ketika itu dia menawarkan saya dan kumpulan untuk menyertai mereka selepas tertarik melihat persembahan kami.

Tidak saya nafikan, lagu Romancinta dan Andai Ku Bercinta Lagi adalah lagu kegemaran kami setiap kali membuat persembahan di hadapan orang ramai.

Ketika hendak menerima tawaran itu saya mengambil masa juga kerana harus fikir betul-betul berikutan bimbang tidak menepati apa yang diinginkan oleh Edry.

Maklumlah ramai lagi penyanyi berbakat dan profesional yang lebih layak untuk menyanyi di AJL29. Namun, melihat kesungguhan Edry yang mengakui tertarik dengan gaya saya menyampaikan lagu Romancinta, membuatkan saya menghargai apa yang dia lihat dan menerima tawarannya.

RAP:Apa yang anda tahu mengenai AJL dan apa yang membuatkan anda berani menerima tawaran Edry?

AZMI: Saya tahu ia satu pertandingan nyanyian, namun tidak tahu berapa ramai yang menonton.

Keberanian saya untuk menyanyi di pentas AJL29 juga atas semangat kawan dan Mojo sendiri yang banyak membantu mengajar saya supaya lebih tenang dan santai ketika berada di pentas meskipun ada awal rasa gugup dan tertekan.

Pada malam itu, selepas persembahan berakhir Edry datang kepada saya memberitahu ribuan orang menyaksikan persembahan kami, malah mereka semua turut berdiri memberi penghormatan.

Saya ketika itu memang rasa terkejut kerana tidak dapat melihat situasi, namun mendengar begitu ramai yang menjerit ,tetapi tidak sangka ia sangat ramai daripada jangkaan.

RAP: Bersediakah anda jika kehidupan berubah sudah tidak seperti biasa lagi?

AZMI: Saya bersedia terima apa saja yang berlaku pada masa akan datang. Namun begitu, kehidupan masih diteruskan seperti biasa, jiwa yang menebal terhadap muzik akan kami teruskan dengan bermain busking.

Mungkin yang berubah penerimaan orang ramai terhadap kumpulan saya. Jika dulu, hanya mereka yang sering melihat persembahan kami di jalanan yang mengenali kami.

Tetapi sekarang, mungkin sesiapa saja dan ke mana kami pergi orang akan kenal dan ingat. Saya juga tidak menolak jika ada yang sudi menawarkan kami membuat persembahan di tempat ekslusif seperti AJL29.

RAP: Apa perancangan anda selepas ini?

AZMI: Edry ada memberitahu ingin menghasilkan sebuah single untuk kumpulan saya. Alhamdulillah hasrat untuk memiliki single sendiri bakal terlaksana tidak lama lagi.

Saya sedar mungkin saya tidak boleh berangan terlalu tinggi, namun dapat menghasilkan sebuah single adalah angan-angan yang saya impikan selama ini.

Jika ia terhasil ia sudah cukup membanggakan buat kami semua. Namun, bermain busking tidak sekali-kali kami tinggalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 5:04 AM