Jangkitan difteria pada tekak dan Corynebacterium diphtheriae punca penyakit itu. FOTO helathline.com/Alain Grillet
Jangkitan difteria pada tekak dan Corynebacterium diphtheriae punca penyakit itu. FOTO helathline.com/Alain Grillet
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Seorang suri rumah berusia 41 tahun disahkan menghidap difteria semalam menjadikan kes pertama dalam kalangan orang dewasa di negara ini untuk 2016.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit itu demam pada 11 Julai lalu dan mengadu tonsil membengkak, serak suara serta sukar menelan dan dia mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Rembau pada 13 Julai.

Menurutnya, wanita terbabit disyaki menghidap difteria dan dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar serta dimasukkan ke wad untuk pengasingan (isolasi) serta rawatan.

"Keadaannya adalah stabil dan semalam, ujian makmal mengesahkan pesakit positif difteria.

"Ini adalah kes terpencil dan rawatan pencegahan dan pengawalan (profilaksis) diberikan kepada semua kontak pesakit termasuk ahli keluarga serta kakitangan kesihatan dan hospital, juga lain-lain langkah kawalan sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes baru ini menjadikan jumlah kes sebanyak 15 dengan lima kematian manakala, pecahan kes mengikut negeri adalah Melaka tiga kes dengan satu kematian; Kedah tujuh kes dengan satu kematian; Sabah empat kes dengan tiga kematian dan Negeri Sembilan satu kes.

"Malah, hari ini Hospital Universiti Sains Malaysia pula melaporkan satu kes disyaki diferia membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, mengalami demam dan sakit tekak sejak 13 Julai lalu.

"Pesakit mengalami bengkak muka dan leher dan keputusan ujian makmal belum diperolehi. Pesakit dalam keadaan stabil dan diberi rawatan anti-toksin difteria," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 7:28 PM