Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Kementerian Kesihatan mengesahkan satu kes disahkan difteria membabitkan budak perempuan empat tahun dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham, berkata kanak-kanak tempatan itu mula mengalami demam, batuk dan sakit tekak sejak 12 Ogos lalu.

Menurutnya, pesakit yang masih mengalami gejala itu dibawa mendapatkan rawatan dan dimasukkan ke wad Hospital Taiping, pada 17 Ogos.

"Pesakit ini dirawat sebagai 'exudative tonsillitis' dan ujian kultur swab tekak kes didapati positif bakteria 'Corynebacterium diphtheria'.

"Bagaimanapun, kanak-kanak terbabit hanya mengalami gejala yang ringan tanpa komplikasi kerana dia sudah mendapat imunisasi difteria yang lengkap.

“Malah, kanak-kanak itu hanya diberikan rawatan antibiotik dan tanpa rawatan antitoksin dan kini beransur sembuh," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 10:28 AM