KAPAL perang AS, USS Curtis Wilbur.
KAPAL perang AS, USS Curtis Wilbur.

Beijing: China semalam mengecam Amerika Syarikat (AS) selepas sebuah kapal perang negara itu belayar berhampiran pulau yang menurut Beijing miliknya di Laut China Selatan.

Jurucakap Jabatan Negara Mark Wright berkata kelmarin, kapal pemusnah USS Curtis Wilbur belayar kira-kira 22 kilometer nautika dari Pulau Triton di kepulauan Paracel untuk ‘mencabar tuntutan melampau kumpulan negara yang menuntut hak terhadap wilayah itu.’

China, Taiwan dan Vietnam terbabit dalam tuntutan bertindih terhadap Kepulauan Paracel dan mensyaratkan kapal yang ingin belayar di kawasan itu meminta kebenaran terlebih dahulu.

Tindakan Amerika Syarikat kelmarin disasarkan kepada China yang didakwa meningkatkan ketegangan dengan Washington dan negara Asia Tenggara apabila melakukan pembinaan pulau dan landasan kapal terbang di kawasan yang menjadi rebutan.

Jurucakap Kementerian Pertahanan China, Yang Yujun menyifatkan tindakan Amerika Syarikat itu mencabuli undang-undang negaranya, mensabotaj keamanan dan kestabilan di perairan itu serta mengancam keamanan dan kestabilan rantau itu.

Agensi berita Xinhua mememetik Yang sebagai berkata, tentera China di Pulau Triton memberi amaran dan berjaya mengusir kapal perang Amerika Syarikat itu.

“Tindakan Amerika Syarikat amat tidak bertanggungjawab dan tidak profesional bagi keselamatan tentera kedua-dua belah pihak.

“Tentera China akan bertindak apa sahaja untuk melindungi kedaulatan China,” kata Yang.

China menuntut hak terhadap hampir keseluruhan kawasan di Laut China Selatan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 6:56 AM