SPASOJEVIC (dua dari kiri) bakal beraksi berdepan Terengganu malam ini.
SPASOJEVIC (dua dari kiri) bakal beraksi berdepan Terengganu malam ini.

Melaka: Kapten Melaka United, Ilja Spasojevic mahu aksi luar biasa dipamerkan ketika menewaskan skuad Liga Super Pahang dalam aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat baru-baru diulangi rakan sepasukan pada aksi pembukaan Piala Malaysia menentang Terengganu, malam ini.

Penyerang dari Montenegro itu yakin rentak sama seperti menewaskan Pahang 2-1 mampu diulangi sekali gus tidak mustahil menewaskan Terengganu dalam saingan pertama kumpulan D.

Walaupun dibarisi ramai muka baharu yang digandingkan dalam perlawanan persahabatan menentang Pahang, Selangor dan ATM, pemain pantas mencari keserasian dan mencipta gerakan licik berpasukan.

“MU amat memerlukan kemenangan berdepan Terengganu dan yakin kami akan beraksi penuh komitmen untuk mengumpul tiga mata di tempat sendiri.

“Walaupun tidak pernah bertemu lawan itu sepanjang musim ini, tapi kami akan beraksi sebaik mungkin walaupun menyedari pelawat dilihat sebagai pasukan pilihan,” katanya.

Spasojevic berkata, saingan Piala Malaysia diakui amat berprestij, sehubungan itu azamnya untuk membawa pasukan berkenaan melepasi saingan peringkat kumpulan terlebih dahulu sebelum memikirkan sasaran berikutnya.

MU yang turut disenaraikan bersama FELDA United dan Negeri Sembilan dilihat memiliki reputasi yang amat baik melepasi peringkat itu berdasarkan pencapaian mereka setakat ini dengan menduduki tangga teratas Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 9:41 AM