KHAIRU (dua dari kanan) antara tonggak utama MU.
KHAIRU (dua dari kanan) antara tonggak utama MU.

Melaka: Pemain tengah Melaka United (MU) Khairu Azrin Khazali berjanji memperaga persembahan terbaik dalam semua perlawanan Liga Malaysia musim ini termasuk saingan kompetitif Piala FA berdepan pasukan lamanya PKNS pada pusingan kedua di Stadium Hang Jebat, bulan depan.

Baginya, pertembungan dengan PKNS tetap dianggap amat bermakna buatnya kerana lapan musim bersama skuad itu satu tempoh yang panjang dan penuh nilai sentimental, namun azamnya kini untuk membantu kejayaan Melaka.

Menurutnya, dia juga sudah merasai bibit keserasian bersama rakan sepasukan Melaka United selepas tiga perlawanan persahabatan pramusim sebelum ini.

Aksi menentang Johor Darul Ta’zim II di Stadium Hang Tuah baru-baru ini juga menggamit kenangan bersama bekas rakan sepasukan dari Argentina Gabriel Guerra yang kini bersama pasukan itu.

“Pengalaman bersama Gabriel sepanjang bersama skuad jurulatih E Elavarasan tetap meninggalkan pengalaman yang berharga buat saya dan pertembungan dengannya dalam pasukan berbeza kali ini amat menarik.

“Apapun saya gembira Melaka seri 1-1 pada perlawanan itu walaupun kami tidak bernasib baik untuk menang. Namun persembahan keseluruhan dilihat kian meningkat,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2017 @ 8:54 AM