SPASOJEVIC (atas) disekat penjaga gol PKNS FC Mohd Ramieze Che Ros.
SPASOJEVIC (atas) disekat penjaga gol PKNS FC Mohd Ramieze Che Ros.
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Kejayaan Melaka United (MU) mengutip tiga mata penuh ketika berdepan PKNS FC pada aksi Liga Perdana di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini, kelmarin amat membanggakan pengurusan skuad berkenaan.

Namun, di sebalik kejayaan itu masih banyak ruang perlu diperbaiki skuad Hang Tuah bagi memantapkan pasukan.

Presiden Melaka United Soccer Association (MUSA) Datuk Seri Idris Haron yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, walaupun menang tipis persembahan pemain tetap dipuji termasuk usaha gigih memburu jaringan kemenangan ketika kedudukan terikat 1-1 pada penghujung babak kedua.

“Lawan mengawal ketat kapten pasukan Ilja Spasojevic, menyebabkan pergerakannya terbatas dan membantutkan usaha menjaringkan gol.

“Strategi jurulatih Mat Zan Mat Aris memasukkan penyerang muda Nurshamil Abd Ghani juga membantu kemenangan ini,” katanya.

Beliau berkata, Nurshamil berada pada kedudukan dan situasi yang betul dengan melakukan rembatan bagi menewaskan penjaga gol lawan.

“Apapun saya mengharapkan barisan pertahanan perlu lebih bersedia dan tidak goyah menjelang pertemuan berdepan Kuala Lumpur dalam saingan Piala FA Sabtu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2016 @ 7:50 AM