MHD Amin meneliti kain jalur gemilang yang akan dipasang di Dataran Merdeka. FOTO Redzuan Muharam
MHD Amin meneliti kain jalur gemilang yang akan dipasang di Dataran Merdeka. FOTO Redzuan Muharam
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pemasangan Jalur Gemilang baru di Dataran Merdeka, di sini akan dilakukan kira-kira 6 petang ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, pemasangan bendera itu bagaimanapun hanya akan dilakukan jika keadaan cuaca baik.

Menurut Mhd Amin, bendera kira-kira 18 meter panjang dan 9 meter lebar yang diperbuat daripada nilon atau 'twinkle satin' itu akan dipasang pada tiang setinggi 100 meter.

Kerja pemasangan itu akan dilakukan oleh tiga petugas daripada syarikat kontraktor dilantik.

Beliau berkata demikian kepada kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Dataran Merdeka, di sini pagi tadi.

Jalur Gemilang yang diguna sebelum ini diturunkan selepas koyak akibat angin kuat dan hujan lebat.

Menurut Mhd Amin, tindakan itu bukan diambil berikutan penyebaran gambar Jalur Gemilang yang koyak di media sosial sebaliknya berikutan keadaan bendera berkenaan yang sudah rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 10:45 AM