KONTINJEN negara bersemangat ketika upacara menaikkan Jalur Gemilang di perkampungan sukan.
KONTINJEN negara bersemangat ketika upacara menaikkan Jalur Gemilang di perkampungan sukan.
BERNAMA

Rio de Janeiro: Kombinasi tarian samba dan salsa menyambut kontinjen Malaysia pada majlis sambutan rasmi di Perkampungan Sukan bagi temasya Olimpik kelmarin.

Jalur Gemilang dinaikkan di depan 32 atlet, jurulatih dan pegawai Malaysia, selain disertai atlet Angola, Kanada dan Fiji yang turut berkongsi pentas untuk acara menaikkan bendera di perkampungan itu.

Pengarah Perkampungan Sukan Mario Cilenti mengalu-alukan ketua kontinjen negara, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid yang turut menyerahkan cenderahati, sebelum Jalur Gemilang dinaikkan bersama bendera Olimpik dengan diiringi lagu Negaraku.

Atlet negara yang diketuai pemenang dua pingat perak Olimpik, Datuk Lee Chong Wei terharu dengan kehangatan sambutan yang dilakukan pada waktu malam sejuk ketika mereka diarak keluar sambil diiringi kumpulan penari.

Malaysia yang memburu pingat emas pertama di temasya sukan paling besar di dunia akan mengambil bahagian dalam 11 acara di Sukan Olimpik yang bermula esok.

Setakat ini, Malaysia sudah memenangi enam pingat di Sukan Olimpik menerusi acara badminton dan serta terjun tetapi masih menunggu emas sulung temasya itu. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 8:28 AM