SAZALI (tengah) mempamerkan medal Mr Universe.
SAZALI (tengah) mempamerkan medal Mr Universe.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Jaguh bina badan negara, Sazali Samad terus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa apabila meraih gelaran Mr Universe buat kali ke-10 pada Kejohanan Bina Badan Dunia di Mumbai, India, malam tadi.

Difahamkan kejayaan di kejohanan berkenaan satu rekod baru dunia selepas Sazali turut unggul meraih kejuaraan pada 2000, 2004, 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) Kamarulzaman Kadir mengesahkan kejayaan terbaru Sazali yang bertanding dalam kategori berat badan 75 kilogram.

“Ini rekod dunia kerana dalam pengetahuan saya, tidak pernah mana-mana peserta meraih gelaran Mr Universe sebanyak 10 kali seperti dilakukan Sazali.

“Kami amat bangga dengan kejayaannya dan seharusnya rakyat Malaysia turut berbangga dengan pencapaian Sazali yang membuktikan dia tetap terbaik,” katanya.

Sazali turut mengungguli kategori sama pada Kejohanan Asia di Macau, September lalu.

Sazali sebelum ini pernah menyuarakan kegusarannya kerana bakal menentang peserta tuan rumah selain masalah kecederaan kedua-dua lutut yang dialami sejak awal tahun, namun atlet negara berusia 47 tahun itu membuktikan semua itu bukan penghalang untuknya bergelar Mr Universe.

Turut membanggakan, kejayaan peserta wanita negara Lilian Tan yang menjuarai kategori 55kg.

“Kejayaan itu kali kedua Lilian kerana pernah memenanginya sebelum ini. Namun selepas ini tiada lagi acara wanita dipertandingkan di peringkat dunia,” kata Kamarulzaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Disember 2014 @ 6:40 AM