DATUK WIRA MASOOD ZAINAL ABIDIN
DATUK WIRA MASOOD ZAINAL ABIDIN
Mohd Khairie Khalid


PERSEKUTUAN Bina Badan Malaysia (MBBF) bersikap terbuka sekiranya jaguh bina badan negara, Sazali Samad ingin kembali bertanding selepas tempoh penggantungannya selama empat tahun, tamat.

Sazali digantung MBBF bermula pada 22 September 2015 angkara gagal ujian doping dan hukuman itu dijadual tamat tahun depan.

Naib Presiden MBBF, Let. Jen. Datuk Wira Masood Zainal Abidin berkata pihaknya sentiasa bersedia membantu atlet malah yakin Sazali mempunyai masa depan yang cerah dalam sukan berkenaan jika ia diteruskan.

“MBBF bukan mahu ‘membunuh’ orang, tidak ... Tugas kita adalah memudahkan, membantu atlet. Jika ada silap dan salah kita akan betulkan tetapi atlet yang digantung perlu akur dengan hukuman dikenakan kepada mereka.

“Kita sentiasa membantu agar mereka kembali dan terus bertanding. Saya harap mereka yang digantung agar bersabar malah masa depan sentiasa ada jika mereka bersabar.

“Dalam masa empat tahun, Sazali memang sentiasa bersedia untuk bertanding dan dalam masa sama dia perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Selepas hukuman penggantungan tamat, Insya-Allah dia akan kembali kerana jika melihat badannya, saya rasa masa depannya masih cerah,” kata Masood.

Masood yang juga Presiden Persatuan Bina Badan Putrajaya berkata pihaknya berbangga dengan pencapaian Sazali, namun mengakui kesilapan adalah satu perkara yang tidak boleh dielakkan.

Untuk rekod, Sazali didapati positif ujian doping yang dijalankan Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS) pada 1 September sebelum berlepas ke Tashket, Uzbekistan bagi menyertai Kejohanan Asia ke-49.

Sazali digantung selama empat tahun oleh MBBF berkuat kuasa 22 September 2015, iaitu tarikh keputusan ujian berkenaan dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 8:49 PM