Keadaan motosikal ditunggang mangsa
Keadaan motosikal ditunggang mangsa
Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Dua beradik berusia 8 dan 17 tahun maut, ibu mereka cedera selepas motosikal ditunggang merempuh belakang lori yang berhenti di tepi jalan Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2), berhampiran bulatan Batu Caves, di sini, 7.30 malam tadi.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan Shafie Daud berkata, mangsa, Pavan Kumar Ramesh, 8, maut di tempat kejadian, manakakala abangnya, Gobi Raj Ramesh, 17, meninggal dunia di hospital.

Katanya, siasatan awal mendapati dua beradik itu membonceng motosikal ditunggang ibu mereka.

"Kemalangan dipercayai berlaku selepas motosikal ditunggang bergesel dengan kenderaan lain sehingga hilang kawalan dan merempuh belakang kanan lori yang berhenti di tepi jalan.

"Akibat kemalangan itu Pavan maut di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala. Abangnya yang cedera di bahagian dada dan perut meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Selayang pada 7.45 malam.

"Ibunya berusia 42 tahun yang cedera di kepala masih menerima rawatan dan pemandu lori pula tidak cedera," katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 11:51 PM