Anggota polis melakukan siasatan dilokasi kemalangan. FOTO Ihsan Polis
Anggota polis melakukan siasatan dilokasi kemalangan. FOTO Ihsan Polis
Norizuan Shamsuddin


WANITA warga Indonesia maut manakala rakannya cedera apabila motosikal ditunggang bergesel sebelum digilis lori di Kilometer 5.1 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) berdekatan Bandar Utama Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika dua wanita terbabit menaiki motosikal menghala ke Puchong, pada jam 7.15 pagi.

"Apabila tiba dilokasi, motosikal dinaiki mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah lori sehingga menyebabkan motosikal terbabit hilang kawalan.

"Kejadian menyebabkan penunggang motosikal ini terjatuh sebelum dilanggar oleh lori dipandu lelaki berusia 35 tahun yang berada dilorong bersebelahan.

"Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan rakannya cedera ringan masih menerima rawatan di hospital," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut mengenai kejadian sedang dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 5:54 PM