AHMAD Naqiuddin (kiri) bersama rakan kongsi syarikat MLTC.
AHMAD Naqiuddin (kiri) bersama rakan kongsi syarikat MLTC.
AHMAD Naqiuddin ( barisan kedua duduk dua dari kiri )selepas mengendalikan program.
AHMAD Naqiuddin ( barisan kedua duduk dua dari kiri )selepas mengendalikan program.
AHMAD Naqiuddin (depan dua dari kiri) bersama pemimpin mahasiswa UiTM seluruh Malaysia.
AHMAD Naqiuddin (depan dua dari kiri) bersama pemimpin mahasiswa UiTM seluruh Malaysia.
AHMAD Naqiuddin menerima anugerah di Majlis Anugerah Tokoh Siswa UiTM 2015..
AHMAD Naqiuddin menerima anugerah di Majlis Anugerah Tokoh Siswa UiTM 2015..
AHMAD Naqiuddin (berdiri tengah) bersama Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) UiTM.
AHMAD Naqiuddin (berdiri tengah) bersama Himpunan Siswazah Kelantan (HIMSAK) UiTM.
Siti Farahiyah Aziz


Rasa cinta terhadap dunia pengucapan awam, anak muda Ahmad Naqiuddin Mohamad, 23, yang kini menuntut di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan nekad mengambil risiko menubuhkan syarikat secara perkongsian bersama beberapa rakan pada awal tahun ini.

Menurut anak muda yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan ini, idea penubuhan syarikat itu muncul ketika berada di tahun akhir pengajian apabila mereka sudah kurang aktif dengan dunia kepemimpinan kampus.

“Saya kini pelajar tahun akhir dan sebelum ini banyak membabitkan diri secara aktif dalam pelbagai aktiviti kepemimpinan di kampus sehinggalah memegang jawatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

“Selepas tamat tempoh memegang tanggungjawab bagi jawatan yang disandang, saya kini mempunyai lebih banyak masa terluang berbanding sebelum ini. Lagipun terdapat beberapa rakan yang turut aktif dalam kepemimpinan dan hasil perbincangan bersama kami mencapai kata sepakat menubuhkan syarikat bersama,” katanya.

Niat ingin berkongsi

Empat anak muda yang bernaung di bawah syarikat Minda Luar Training and Consultancy (MLTC) ini pada mulanya bergiat sendiri kerana keinginan untuk berkongsi pelbagai perkara membabitkan kepemimpinan dan akademik serta mengisi masa lapang.

Naqiuddin berkata, fokus mereka lebih tertumpu kepada kepemimpinan mahasiswa dan cara belajar yang sebenar supaya akademik tetap terjaga walaupun menjadi seorang yang aktif di universiti.

“Lagipun, saya juga pernah berdepan dengan situasi apabila berlaku kesukaran menyeimbangkan belajar dengan aktiviti kampus kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi.

“Oleh itu, penubuhan MLTC ini bertujuan membantu golongan mahasiswa untuk tidak terus ketinggalan dalam pelajaran dan pada masa sama tidak menjadi pelajar yang pasif kerana dunia selepas belajar sangat mencabar yang memerlukan pelbagai kemahiran diri,” katanya.

Pengurusan masa

Menurut anak muda yang menjadikan Amin Idris sebagai idolanya, dia tidak menafikan kesibukan ketika menyertai kepemimpinan secara tidak langsung boleh menjejaskan tahap pencapaian akademik seseorang.

“Sememangnya sukar untuk seimbangkan antara akademik dengan kepemimpinan. Namun, selepas belajar daripada pengalaman sebelum ini, bagi saya keutamaan dalam akademik lebih penting tapi pada masa yang sama tidak mengetepikan dunia kepemimpinan.

“Apabila akademik diutamakan, aktiviti kepemimpinan juga turut diteruskan dan bergerak seiring tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Persediaan dan pembabitan awal

Naqiuddin mengakui ketika zaman sekolah dia seorang yang pemalu dan kurang keyakinan diri untuk tampil ke hadapan untuk berkongsi apa-apa perkara.

Namun apabila menjejakkan kaki ke alam universiti, dia mula mengagumi kehebatan seniornya yang menyampaikan hujah di khalayak ramai sehingga membuatkan dirinya terdetik untuk menjadi seperti seniornya itu.

“Sejak itu, saya mula mengorak langkah dengan membabitkan diri dalam aktiviti kelab dan persatuan dan memegang jawatan yang biasa terlebih dulu.

“Walaupun bermula dari bawah secara perlahan-lahan tapi lama-kelamaan membangkit keyakinan diri untuk berhadapan dengan orang ramai dan prinsip yang saya pegang adalah berusaha mengubah diri sendiri menjadi insan lebih berjaya,” katanya.

Aplikasi ilmu perakaunan

Naqiuddin berkata, walaupun dirinya bergiat aktif dalam bidang pengucapan awam tapi ilmu perakaunan yang dipelajari tidak akan dilupakan dan akan terus dipraktikkan.

“Ini kerana setiap rakan kongsi syarikat yang ditubuhkan itu mempunyai kelebihan masing-masing dan saya yang belajar perakaunan ini bertanggungjawab untuk menjaga akaun syarikat.

“Walaupun sukar kerana kami semua masih baru tapi saya akan melakukan yang terbaik dengan mengaplikasikan semula apa dipelajari sepanjang tempoh belajar,” katanya.

Perancangan akan datang

Walaupun masih baru dalam dunia pengucapan awam, Naqiuddin yang berminat dalam perniagaan sejak bangku sekolah berhasrat untuk menceburi pelbagai bidang perniagaan serta bidang lain.

Menjadikan pakar motivasi muda, Amin Idris sebagai idolanya, Naqiuddin berhasrat ingin menjadi seperti Amin kerana kagum dengan penyampaian setiap hujahannya.

“Saya sering kali menonton videonya di YouTube untuk mempelajari dan meningkatkan mutu penyampaian saya.

“Selain itu, saya juga membabitkan diri dalam pelbagai kelas berkaitan supaya mendapat sijil khas dalam perundingan sebagai pengiktirafan terhadap diri dan syarikat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 10:00 AM