MINAT terhadap pengucapan awam kerana sering berpindah sekolah.
MINAT terhadap pengucapan awam kerana sering berpindah sekolah.
Siti Farahiyah Aziz


Siapa sangka nasib anak gadis kelahiran Pasir Mas, Kelantan yang sering bertukar sekolah kerana tuntutan kerjaya bapanya menjadi tuah buat dirinya apabila keadaan itu menjadi faktor pendorong meningkatkan keyakinan diri serta mengasah bakat pengucapan awam.

Kebiasaannya kanak-kanak sukar menyesuaikan diri di tempat baru bertindak mendiamkan diri, namun berbeza dengan Nur Syazreen Wahid Marican, 21, yang tampil berani menyertai pelbagai pertandingan sejak tahun satu.

AKTIF PENGUCAPAN AWAM

Syazreen yang lebih mesra dipanggil Ereen berkata, dia sendiri tidak menyedari bakat yang ada pada dirinya sehingga diberi peluang menyertai pertandingan bercerita.

“Walaupun percubaan pertama itu tidak mendapat gelaran johan, ia memberi satu pengalaman berharga dan tidak mungkin dilupakan.

“Bukan itu sahaja, saya juga pernah menyertai pertandingan bercerita dalam bahasa Mandarin ketika tahun lima,” katanya.

Sejak itu, selain pertandingan bercerita Ereen juga pernah membabitkan diri dalam pertandingan bahas, debat, pantun dan menjadi pengacara majlis.

PENGALAMAN DAN CABARAN

Selepas mencuba pelbagai aktiviti berkaitan pengucapan awam, akhirnya Ereen berjaya mengenal pasti minatnya yang lebih cenderung ke arah pengacaraan.

“Saya menjadi lebih teruja apabila membabitkan diri dengan pengacaraan dan pernah menawarkan diri menjadi pengacara untuk mengendalikan majlis di kampus.

“Bagaimanapun, terdapat pelbagai persediaan yang perlu dilakukan kerana pengacara seolah-olah nadi bagi suatu majlis kerana perlu me­ngawal setiap keadaan yang berlaku,” katanya.

Walaupun masih bertatih dalam dunia pengacaraan, bagi dirinya yang berpeluang terbabit mengendali majlis konvokesyen adalah pencapaian terbaiknya sekarang ini dan satu permulaan mengorak langkah mengembangkan bakatnya itu.

Menurutnya, dalam pengacaraan setiap hari adalah proses pembelajaran kerana setiap majlis pasti ada kelainan dan perlu komited supaya tidak menjejaskan keyakinan orang terhadap dirinya.

“Menjadi pengacara bukan sekadar membaca skrip yang disediakan, tapi perlu kreatif dalam penyampaian supaya dapat menarik perhatian orang ramai dan tidak membosankan.

“Jika sebelum ini terikat dengan skrip, namun sekarang ini saya cuba menyesuaikan diri menjadi pengacara tanpa teks walaupun pada mulanya agak sukar,” katanya.

Setakat ini Ereen juga tidak meletakkan sebarang harga bagi perkhidmatannya itu kerana dia masih dalam proses belajar dan menimba pengalaman.

SAINS VS KOMUNIKASI

“Ya, tidak dinafikan minat saya terhadap pengacaraan jauh berbeza daripada bidang pembelajaran saya sekarang iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Makanan tapi saya akan cuba terbaik untuk seimbangkan minat dengan fokus belajar.

“Bagi meningkatkan kemahiran, saya sentiasa belajar dengan pelajar komunikasi kerana mereka lebih mengetahui teknik yang perlu dilakukan ketika menjadi pengacara.

Ereen berkata, dia pernah merancang memohon jurusan komunikasi namun membatalkan hasratnya kerana rasa sayang untuk beralih daripada bidang sains.

Menurutnya, dari segi pengurusan masa, dia sentiasa memastikan jadual belajar diutamakan dan pengacaraan dilakukan sekiranya ada masa terluang.

“Perkara penting adalah latihan dan jangan mudah menggelabah kerana saya pernah mengendali majlis yang pada hari yang turut ada ujian bagi empat subjek.

“Saya juga pernah menolak tawaran kerana kekangan masa untuk belajar,” katanya.

PERANCANGAN AKAN DATANG

“Saya akan meneruskan bidang pengacaraan walaupun sudah tamat belajar dan menjadikannya sebagai pekerjaan kedua supaya ia bergerak seiring dengan bidang sains.

“Selain itu, kami juga dalam kalangan pengacara sudah mewujudkan kumpulan sendiri bagi memudahkan perkongsian maklumat,” katanya.

Ereen juga berharap golongan muda tidak takut tampil menonjolkan kelebihan diri kerana kelemahan boleh diubah menerusi pembelajaran dan setiap orang mempunyai cara tersendiri dalam penyampaian maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 1:08 PM